lebuh raya
Pengguna melepasi Plaza Tol Sungai Rasau di Shah Alam secara percuma pada pukul 12.01 tengah malam selepas pelaksanaan Pemansuhan Kutipan Tol Sungai Rasau dan Tol Batu Tiga mulai 1 Januari 2018.

KUALA LUMPUR – Kutipan bayaran di 11 plaza tol telah dimansuhkan sepanjang tempoh tahun Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Antara lokasi terbabit adalah Tol Teluk Kapas, Tol Metramac, Tol Batu 9 dan Batu 11 di Lebuh Raya Cheras-Kajang, Tol Jambatan Lanang di Sibu dan Tol Jambatan ASEAN di Baram.

Lima lagi lokasi adalah Tol Jambatan Salahuddin di Kuching, Tol Batu Tiga dan Tol Sungai Rasau di Lebuh Raya Persekutuan, Tol Bukit Kayu Hitam di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dan Tol EDL.

Penganalis politik, Lim Sian See berkata, pemansuhan kutipan tol dilaksanakan oleh pentadbiran Najib walaupun beliau tidak pernah menjanjikan perkara itu kepada rakyat.

“Yang janji untuk mansuh tol, tiada yang mansuh malah tol dilanjutkan berganda tahun lamanya.

“Yang tak janji pula telah memansuhkan 11 tol,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Sebaliknya, menurut beliau, tiada satu pun tol pernah dihapuskan sepanjang tempoh hampir enam tahun sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Malah, kata Sian See, beberapa konsesi tol utama telah dilanjutkan termasuk PLUS, Lebuh Raya Baharu Lembah Klang (NKVE) dan Jambatan Pulau Pinang pada 2020.

“Kutipan tol sepatutnya tamat pada 2038 tetapi dilanjutkan 20 tahun sehingga 2058,” jelasnya.

Menurut beliau, tahun ini pula, kutipan tol Lebuh Raya Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur yang sepatutnya tamat pada 2032 telah dilanjutkan 37 tahun lagi sehingga 2069. – MalaysiaGazette