BUTTERWORTH – Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan RM960,000 wang palsu dua minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, S. Karunagaran, 37, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut sebaik ia dibacakan dihadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan mata wang palsu sebagai tulen iaitu 1,600 keping nota RM100 menggunakan nombor siri sama dan 8,000 keping nota RM100 dengan cetakan sebelah sahaja.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu disebuah premis di Lengkok Kikik 4, Taman Inderawasih, Perai pada 14 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga sepuluh tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding Mohammad Syafiq Nasrullah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Kes akan disebut semula pada 23 Februari ini bagi serahan dokumen serta lantikan peguam. – MalaysiaGazette