PADU
Masyarakat setempat mendaftar dan mengemas kini maklumat peribadi dalam Sistem Pengkalan Data Utama (PADU) di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Batu 8 Tambun, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 5 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA menggesa Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mempertimbangkan untuk menangguhkan sementara pendaftaran Pengkalan Data Utama (PADU).

Pengerusi Biro Perkhidmatan dan Pengaduan Awam Pemuda MCA, Heng Zhi Li berkata, pihaknya mempunyai keraguan besar tentang langkah keselamatan data dan pelan pelaksanaan keseluruhan semasa sistem tersebut.

Menurut beliau, penangguhan itu akan memberi masa kepada kerajaan untuk menangani cabaran perlindungan data secara menyeluruh melalui langkah-langkah seperti dasar data yang telus dan pengawasan awam.

“Kerajaan juga boleh menganjurkan sesi maklumat dan menyediakan sumber yang boleh diakses tentang amalan keselamatan data PADU yang akan meningkatkan kepercayaan orang ramai dengan ketara serta menggalakkan penyertaan yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Jumaat lalu, Rafizi mengesahkan seramai 1,291,459 individu dewasa telah mendaftar dengan PADU dan jumlah keseluruhan termasuk individu bawah 18 tahun adalah 1,638,342 orang.

Zhi Li berkata, Pemuda MCA turut membantah tindakan kerajaan mengaitkan pendaftaran PADU dengan mekanisme penyasaran subsidi.

Beliau memberitahu, tindakan itu telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai mengenai kemungkinan mereka dikenakan penalti atau kehilangan faedah.

“Selain itu, kekurangan komunikasi yang jelas dan ketelusan berhubung proses pelaksanaan telah mencetuskan keraguan orang ramai tentang motif asas.

“Termasuk pengawasan pengundi dan manipulasi pilihan raya, terutamanya memandangkan penglibatan Rafizi pada masa lalu dalam membocorkan dokumen sulit,” jelasnya. – MalaysiaGazette