SHAH ALAM – Kafe berkonsep perkhemahan, Kopi & Pantun menawarkan suasana santai kepada peminat bola sepak menonton aksi Malaysia menentang Korea Selatan dalam Piala Asia 2023 Khamis ini.
Pengusaha kafe, Khairun Mohamad Nor, 48, berkata, pihaknya menyediakan tikar untuk pelanggan duduk bersila menyaksikan perlawanan melalui skrin gergasi di premis yang terletak di Taman Awam, Seksyen 10 di sini.
Katanya, penonton dapat merasai kelainan kerana menonton perlawanan di kawasan terbuka dengan suasana taman dan pokok di sekitarnya.
“Penyertaan dalam Piala Asia amat bermakna walaupun kita tewas dua perlawanan sebelum ini. Pemain telah melakukan yang terbaik, kita perlu terus menyokong mereka.
“Sebagai tanda sokongan, kami menyediakan skrin gergasi untuk peminat bola sepak. Mereka boleh duduk di atas tikar serta menikmati makanan sambil bersorak untuk skuad negara.
“Kafe ini juga berdekatan dengan taman permainan, ibu bapa boleh membawa anak-anak bermain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Malaysia yang berada dalam kumpulan E akan menentang Korea Selatan dalam perlawanan pukul 7.30 malam.
Sebelum ini Harimau Malaya tumpas kepada Jordan dan Bahrain, sekali gus tersingkir dari kejohanan di Qatar itu.
Khairun memberitahu, dalam perlawanan bertemu Bahrain baru-baru ini, kira-kira 50 penonton hadir memberikan sokongan kepada skuad negara di kafe tersebut.
“Sambutan amat menggalakkan dan saya berharap lebih ramai datang pada Khamis ini,” ujarnya.
Kafe yang mula beroperasi Oktober tahun lalu itu juga menjual baju T khas Harimau Malaya dan setiap pembeli akan mendapat kopi percuma.
Khairun berkata, selain aneka kopi terdapat makanan lain antaranya nasi lemak, sate, makanan barat dan kek dijual dari pukul 5 petang hingga 12 malam. – MalaysiaGazette