Datuk Sasikala Devi beramah mesra bersama pengunjung-pengunjung di kawasan sekitar Batu Caves, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 1,569 pegawai dan anggota polis akan bertugas di sekitara Batu Caves, di sini, sempena sambutan Thaipusam esok.

Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata, pihak akan menempatkan polis trafik di sepanjang jalan di Batu Caves bagi memudahkan orang awam dan penganut agama Hindu mengunjungi Kuil Sri Subramaniyar Swamy.

”Polis akan membuat rondaan aman dalam setiap lapan jam. Rondaan lapan jam berkenaan adalah untuk satu syif penugasan dan terdapat tiga syif penugasan dalam sehari.

”Ia bertujuan untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman awam serta lalu lintas sepanjang sambutan Thaipusam di Batu Caves esok yang dijangka dihadiri ramai pengunjung,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Beliau turut memantau penugasan Program ‘Community Policing Thaneer Panthal’ sempena sambutan Thaipusam.

Menurut Sasikala Devi, prograam tersebut merupakan tanggungjawab sosial yang dilaksanakan polis sejak 32 tahun dengan memberi makanan dan minuman kepada masyarakat.

”Saya berharap sambutan Thaipusam esok berjalan lancar. Untuk hari ini, keadaan masih dalam kawalan dan tiada insiden yang tidak baik dilaporkan setakat ini.

”Saya minta orang ramai yang hadir ke sambutan ini agar berwaspada dan menjaga barang berharga,” ujarnya.

Sementara itu, Sasikala Devi meminta orang ramai agar mematuhi arahan polis bagi mengelakkan kesesakan jalan raya dan perkara tidak diingini menimpa mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast