Mohd Yahya Mat Sahri

KUALA LUMPUR – Akan ada lagi ahli Parlimen pembangkang yang akan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang Ramadan ini.

Itu jaminan Ahli Majlis Pimpinan PKR Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri apabila memberitahu, beliau cukup pasti perkara itu akan berlaku.

“Saya cukup pasti sebelum puasa, akan ada lagi Ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan kepada kerajaan.

“Tetapi, jumlah bilangan (wakil rakyat) itu saya tak boleh confirmkan (sahkan) lagi,” katanya lapor laman portal Scoop.

Mohd Yahya berkata, sokongan terbuka yang ditunjukkan oleh enam ahli Parlimen pembangkang kepada Anwar ketika ini merupakan isyarat bahawa Kerajaan Perpaduan berada di landasan yang betul dalam memperjuangkan isu rakyat dan negara.

Malah beliau berkata, sokongan terbaru daripada Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi menafikan dakwaan jahat pembangkang bahawa Kerajaan Perpaduan bakal tumbang dalam masa terdekat.

“Syabas dan tahniah kepada Zulkafperi. Selamat datang ke Kerajaan Madani. Situasi semakin ramai pemimpin pembangkang menunjukkan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri memberi gambaran jelas apa diperkatakan pembangkang bahawa kerajaan akan tumbang, langkah itu dan langkah ini… semua itu tak boleh pakai.

“Kepimpinan yang ditunjukkan Perdana Menteri dalam menggagaskan Malaysia Madani sebenarnya diterima seluruh pimpinan termasuk wakil pembangkang dan rakyat,” ujarnya.

Semalam, Zulkafperi dalam kenyataannya mengisytiharkan memberi sokongan kepada Anwar.

Tindakannya itu menjadikan beliau wakil rakyat pembangkang keenam menyokong Anwar selepas Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz (Bukit Gantang).

Zulkafperi berkata, pengisytiharan sokongan tersebut dibuat sepenuh hati demi kepentingan penduduk Tanjong Karang tanpa sebarang paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak. – MalaysiaGazette