KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menyangkal dakwaan ia mengagihkan kuota tertentu kepada pihak swasta atau Pengendali Jemaah Haji (PJH).
Menurutnya, jumlah kuota haji yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi sebanyak 31,600 orang adalah mengikut sistem pendaftaran haji terbuka berdasarkan konsep “Mendaftar Dahulu, Didahulukan” yang dilaksanakan sejak dari tahun 1995.
Jelasnya, apabila bakal jemaah sudah terpilih di dalam kuota tahunan, mereka boleh memilih sama ada ingin menunaikan ibadat haji melalui TH (Muassasah) atau melalui syarikat-syarikat PJH yang telah dilesenkan oleh TH.
Bakal haji yang memilih syarikat PJH adalah mereka yang berkemampuan untuk membayar lebih dari kos haji bagi mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik dari Muassasah.
“Dakwaan bahawa TH hanya mengendalikan 11,000 jemaah pada tahun ini adalah tidak benar kerana majoriti jemaah haji atau sekitar 70 peratus hingga 80 peratus adalah melalui Muassasah.
“Syarikat PJH pula membuat bayaran kepada TH bagi setiap jemaahnya untuk perkhidmatan dan kemudahan di Tanah Suci termasuk bayaran wajib yang dikenakan oleh pihak Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Oleh itu, TH mengingatkan orang awam untuk tidak menyebarkan berita palsu atau belum dipastikan kesahihannya yang boleh mencetuskan keresahan masyarakat.
TH turut menasihati orang ramai agar untuk tidak mudah percaya dengan berita palsu yang tular di media sosial.
Bakal jemaah haji Malaysia dinasihatkan untuk rujuk kepada platform media sosial rasmi TH bagi mendapatkan maklumat yang sahih, tepat dan terkini. – MalaysiaGazette