Yahya Saree

SANAA – Kumpulan Houthi mendakwa telah menyerang sebuah kapal perang Amerika Syarikat (AS) dan memaksa dua kapal komersial negara itu berundur selepas berlaku pertempuran dengan tenteranya di Teluk Aden dan Selat Bab el-Mandab.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree berkata, pertempuran selama lebih dua jam berlaku ketika kapal perang AS memberi perlindungan untuk dua kapal komersial.

Beliau mengesahkan peluru berpandu Houthi menyasarkan kapal perang AS dan memaksa kedua-dua kapal komersial berundur dari memasuki Laut Merah.

“Sebagai solidariti dengan rakyat Palestin dan tindak balas kepada pencerobohan Amerika-British ke atas negara kita, pertempuran berlaku dengan beberapa kapal pemusnah dan kapal perang Amerika di Teluk Aden dan Selat Bab el-Mandab,” kata Saree dalam kenyataan di televisyen.

Beliau menambah, angkatan tentera kumpulan itu akan “terus menghalang pelayaran atau kapal Israel menuju ke pelabuhan Palestin yang diduduki di Laut Merah dan Laut Arab sehingga pencerobohan ke atas Gaza dihentikan.

Sementara itu agensi Anadolu melaporkan, tiada maklum balas segera daripada pihak AS.

Tetapi Komando Pusat AS (CENTCOM) mengumumkan awal Rabu bahawa kumpulan Houthi menyasarkan sebuah kapal AS di Teluk Aden dengna tiga peluru berpandu.

Dua daripadaa peluru berpandu itu berjaya dipintas manakala yang ketiga jatuh ke dalam laut tanpa menyebabkan kecederaan.

Ketegangan di Laut Merah telah meningkat dengan ketara sejak Houthi menyasarkan kapal AS secara langsung pada 9 Januari.- Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast