Anggota bomba dan penyelamat mencari kanak-kanak lima tahun yang hilang selepas terjatuh ke dalam parit di Kampung Sungai Tiram di sini, malam tadi.

JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki lima tahun ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam parit dan dihanyutkan arus di Lorong Cempaka Batu 18 ½ Kampung Sungai Tiram di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Faiz Ramli berkata, seramai 14 anggota dengan dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat kejadian tersebut pada pukul 7.07 malam.

Mayat mangsa dijumpai tersangkut di pangkal pokok sawit di sungai pada jam 10.30 malam, kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

“Mangsa dikatakan bermain di tepi parit yang terletak di kawasan rumahnya sebelum terjatuh ke dalam parit itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi selesai pada jam 12.16 tengah malam. – MalaysiaGazette