Keadaan kenderaan pikap yang terlibat dalam nahas jalan raya di Lebuhraya Elite pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Gara-gara berhenti di lorong kecemasan, seorang penumpang pikap maut selepas tercampak akibat dilanggar oleh sebuah lori di Kilometer 21.6 Lebuhraya Elite pada jam 4.20 pagi tadi.

Nahas itu berlaku apabila pikap yang datang dari arah Port Dickson menghala ke shah alam berhenti di lorong kecemasan kerana pemandu keletihan dan meminta penumpang hadapan menggantikannya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, ketika mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 37 menuju ke arah tempat pemandu dan membuka pintu, tiba-tiba sebuah lori dari lorong kiri melanggarnya dan kenderaan tersebut.

Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke lorong tengah dan lori yang hilang kawalan melanggar bahagian belakang kiri sebuah kereta Perodua Axia yang sedang bergerak di lorong tengah arah sama.

Mangsa meninggal dunia di lokasi kemalangan. Pemandu lori dan kereta tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41 akta pengangkutan jalan raya 1987.

Ahmad Ridhwan meminta saksi bebas yang melihat kemalangan ini menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 0111-8539116) atau 03-31872222. – MalaysiaGazette