Bahagian fiuslaj sebuah pesawat 737 Max milik Alaska Airlines terjatuh ketika dalam penerbangan dari Portand ke California pada awal Januari 2024.

WASHINGTON – Pengawal selia penerbangan Amerika Syarikat (AS) akan membenarkan pesawat Boeing 737 Max 9 untuk meneruskan penerbangan selepas pemeriksaan selesai.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) telah menggantung 171 pesawat selepas pintu yang tidak digunakan terjatuh ketika dalam penerbangan baru-baru ini.

United Airlines dan Alaska Airlines merancang untuk menggunakan semula pesawat tersebut dalam beberapa hari lagi.

Namun, FAA berkata, pihaknya belum lagi membenarkan Boeing menambah pengeluaran kumpulan pesawat berbadan sempit itu, termasuk 737 Max 9.

“Kami tidak akan bersetuju dengan sebarang permintaan daripada Boeing untuk pengembangan pengeluaran atau meluluskan pengeluaran tambahan 737 Max sehingga kami berpuas hati berhubung isu kawalan kualiti,” kata Pentadbir FAA Mike Whitaker dalam satu kenyataan.

Alaska Airline menjangkakan “mengembalikan beberapa pesawat Boeing 737 Max 9 kembali ke perkhidmatan komersial berjadual pada hari Jumaat”, dengan lebih banyak pesawat ditambah setiap hari apabila pemeriksaan selesai.

United Airlines pula berkata ia telah menerima kelulusan muktamad daripada FAA untuk melengkapkan proses mengembalikan 79 pesawatnya yang terdiri daripada 737 Max 9 kepada perkhidmatan.

Ketua pegawai operasi syarikat Toby Enqvist berkata, syarikat penerbangan itu sedang bersedia untuk mula menerbangkan pesawat itu semula mulai 28 Januari.

Pada 5 Januari, pintu pesawat Boeing 737 Max 9 Alaska Airlines terjatuh sejurus selepas berlepas, memaksa pesawat mendarat kecemasan di lapangan terbang Portland, Oregon.

Alaska Airlines dan United Airlines telah menyatakan kekecewaan terhadap Boeing yang menggantung operasi 737 Max 9, hingga menyebabkan gangguan besar kepada perkhidmatan mereka. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast