Muhammad Hatta Kassim

MARAN – Helah seorang lelaki Indonesia cuba mengaburi penguatkuasa imigresen dengan engatakan isterinya telah melarikan diri ternyata gagal apabila wanita tersebut ditemui menyorok di belakang pintu bilik mereka.

Pengarah Jabatan Imigresen Pahang, Muhammad Hatta Kassim berkata, pasangan tersebut antara warga asing yang ditangkap dalam serbuan oleh JIM Pahang di tujuh penempatan pekerja ladang kelapa sawit di sekitar Jengka dan Jerantut awal pagi tadi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua pasangan itu tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk tinggal di negara ini.

Kesemua suspek ditangkap dalam serbuan yang dijalankan antara jam 1.10 hingga 4.55 pagi oleh 17 orang pegawai,

Seramai 26 orang warga asing telah diperiksa dan daripada jumlah itu 22 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Tangkapan terdiri daripada 14 orang warga Indonesia, tujuh warga Myanmar dan seorang Thailand, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 50 tahun dan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Kemayan, Bera untuk siasatan lanjut.

Pemilik rumah dan ladang yang terlibat pula akan dikesan bagi membantu siasatan.

JIM Pahang menyeru orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI) di lokaliti masing-masing.

Muhammad Hatta berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap PATI dan mana-mana pihak yang melindungi mereka di negeri ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast