KUALA LUMPUR – Dua kanak-kanak lelaki dan seorang remaja ditemui lemas selepas mandi di kolam latihan kereta kebal di Kem Batu 5, Jalan Karak-Temerloh dekat sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (JBPN) Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada jam 5.55 petang berhubung seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi bersama tiga lagi rakannya di sebuah kolam latihan pada kedalaman 7 kaki.
Ketiga-tiga mangsa yang berumur 11 dan 13 tahun itu dilaporkan telah dihantar ke hospital dengan ambulan tentera sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
Namun difahamkan ketiga-tiga kanak-kanak tersebut tidak dapat diselamatkan dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan angkatan tentera.
Mereka yang meninggal dunia ialah Amar Mukhlis Mohd Anizan, 13; Muhammed Shafiq Aswad Shahril Naim dan Aiman Syafiq Sudirman, masing-masing 11 tahun.
Semua mangsa merupakan anak kepada anggota yang bertugas di Kem Batu 5, Mentakab.
Menurutnya, kerja-kerja mengepam untuk mengeluarkan air kolam bagi mengesan seorang lagi mangsa.
Bagaimanapun, tiada mangsa di dalam kolam tersebut.
Kanak-kanak tersebut telah dijumpai bermain di kawasan yang lain dan tidak terlibat dengan kejadian di kolam tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata berkata, rakan mereka meminta pertolongan kira-kira jam 5.30 petang.
Pihaknya melakukan pencarian awal sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian menemui tiga helai baju.
“Mangsa pertama telah dijumpai pada jam 5.55 petang iaitu Aiman Syafiq dan telah dibawa ke Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) dan seterusnya dibawa ke Hospital Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pada jam 6 petang.
“Kemudian mangsa kedua Muhammed Shafiq Aswad pada jam 6.10 dan mangsa terakhir Amar Mukhlis lima minit kemudian dan kematian telah disahkan PPAT,” ujarnya.
Kesemua mayat telah diserahkan kepada Hospital Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.
Menurut Wan Mohammad lagi, kawasan kejadian adalah kawasan larangan dan pihak Angkatan Tentera Malaysia telah menutupnya. – MalaysiaGazette