Wee Ka Siong
Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mewajibkan semua bank membuat pembayaran kepada peniaga dalam tempoh 48 jam selepas menerima pembayaran daripada pelanggan masing-masing.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, langkah itu berupaya meningkatkan aliran tunai untuk peniaga dan ekonomi negara juga akan mendapat manfaat daripadanya.

Menurut beliau, selaras dengan peningkatan penggunaan pembayaran elektronik (e-pembayaran) dan automasi teknologi maklumat (IT), maka bank tidak sepatutnya lagi menggunakan alasan cuti umum dan hujung minggu untuk menangguhkan pembayaran kepada para peniaga.

“Lagipun, bank tetap mengenakan faedah ke atas pinjaman walaupun semasa cuti umum dan hujung minggu.

“Jadi mengapa mereka perlu mendapat manfaat daripada apungan percuma apabila menangguhkan pembayaran kepada peniaga?” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu memberitahu, terdapat 104 hari Sabtu dan Ahad pada tahun ini serta 25 hari cuti umum peringkat persekutuan dan negeri.

Beliau menambah, nilai e-pembayaran melalui sistem perbankan pula adalah kira-kira RM1.4 trilion.

“Oleh itu, pihak bank mengaut banyak keuntungan daripada apungan percuma apabila menangguhkan pembayaran kepada peniaga selain fi yang dikenakan ke atas peniaga untuk fasiliti e-pembayaran,” jelasnya. – MalaysiaGazette