KUALA LUMPUR – Harga eksport Malaysia pada Disember 2023, menurun 0.9 peratus daripada 149.3 mata pada bulan sebelumnya kepada 148.0 mata.

Begitu juga, harga import jatuh 1.0 peratus daripada 130.9 mata kepada 129.6 mata manakala terma perdagangan Malaysia pula menokok 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 114.6 mata pada tempoh yang sama.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport jatuh 0.9 peratus pada Disember 2023 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-3.6%),
minyak galian (-2.4%) dan barang-barang keluaran kilang (-0.5%).

Pada masa yang sama, indeks volum eksport susut 1.8 peratus selaras dengan penyusutan indeks minyak galian (-14.8%), makanan (-8.0%) dan bahan kimia (-3.9%) dan indeks volum eksport pelarasan bermusim merosot 9.3 peratus daripada 155.4 mata kepada 140.9 mata.

Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit naik 2.4 peratus manakala indeks volum jatuh 12.0 peratus.

Indeks nilai seunit import menurun 1.0 peratus pada Disember 2023, disumbangkan oleh penurunan indeks minyak galian (-4.5%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-0.5%) dan bahan kimia (-0.5%).

Indeks volum import turut jatuh 1.6 peratus pada Disember 2023 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kejatuhan dalam indeks bahan kimia (-6.3%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-3.8%) dan pelbagai barang keluaran kilang (-1.2%).

Indeks volum import pelarasan bermusim naik 0.2 peratus daripada 188.1 mata kepada 188.4 mata.

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import menyusut 0.3 peratus dan indeks volum bertambah 3.4 peratus.

Di samping itu, terma perdagangan Malaysia meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 114.6 mata pada Disember 2023, didorong oleh peningkatan indeks minyak galian (+2.2%), makanan (+0.9%) dan bahan mentah tidak boleh dimakan (+0.8%).

Begitu juga, terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun berkembang 2.7 peratus daripada 111.6 mata pada Disember tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast