Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR – Langkah pasukan Harimau Malaya yang menunjukkan kecemerlangan dengan berjaya mengikat Korea Selatan mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan itu, kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM5 juta buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurutnya, dana itu adalah bagi membantu FAM mengurus pasukan bola sepak kebangsaan sekali gus meningkatkan keupayaan mereka.

“Saya telah melihat, menyaksikan pertarungan hebat Harimau Malaya malam tadi menunjukkan keupayaan, kesungguhan, semangat mereka yang tidak gentar.

“Walaupun kalah dalam dua pertarungan tapi menunjukkan satu perlawanan yang sangat menakjubkan dan hebat, bertarung dengan satu pasukan yang kuat, Korea Selatan.

“Saya ucapkan tahniah kepada mereka. Mara terus dan kerana menunjukkan semangat sedemikian, atas pertimbangan Menteri Belia dan Sukan, kerajaan telah bersetuju meluluskan tambahan RM5 juta kepada FAM.

“Ia adalah supaya FAM dapat mengurus pasukan bola sepak dan meningkatkan keupayaan mereka,” katanya kepada media ketika makan tengahari bersama rakyat di Restoran Nasi Kandar Pelita, Desa Sri Hartamas hari ini.

Beliau kemudiannya menunaikan Solat Jumaat di Segambut bersama-sama lebih 2,000 jemaah.

Tambah Anwar, kerajaan akan menyalurkan segera dana tersebut kepada badan induk bola sepak negara itu.

Pasukan Harimau Malaya mencipta sejarah tersendiri apabila mengikat Korea Selatan dalam perlawan terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Qatar semalam.

Skuad bimbingan Kim Pan Gon itu mempamerkan persembahan memukau dengan bangkit dua kali sebelum perlawanan berakhir dengan keputusan 3-3.

Gol pasukan Malaysia dijaringkan Mohd Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi dan Romel Morales.

Perlawanan itu bukan hanya menjadi tumpuan rakyat Malaysia malah di seluruh dunia sehingga ada yang mengatakan ia merupakan antara perlawanan terbaik dalam edisi kali ini.

Bahkan gol Mohd Faisal juga dilabel antara terbaik dalam kejohanan apatah lagi selepas beliau bersahaja menggelecek pertahanan Bayern Munich, Kim Min Jae. – MalaysiaGazette