Suria KLCc antara gedung beli-belah yang menarik untuk dikunjungi pelancong.

KUALA LUMPUR – KLCC Property Holdings Bhd (KLCCP) membeli baki 40 peratus kepentingan ekuiti dalam Suria KLCC Sdn Bhd, yang memiliki dan mengurus Suria KLCC Mall dengan harga RM1.95 bilion.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, KLCCP berkata, syarikat itu memeterai perjanjian pembelian saham dengan Ocmador (Malaysia) City Retail Centre Sdn Bhd, Port Moresby Investments Ltd dan Bold Peak Sdn Bhd untuk cadangan pengambilalihan tersebut.

Cadangan pengambilalihan itu akan dibiayai oleh pinjaman luar dan dijangka selesai menjelang suku kedua 2024.

Dengan pengambilalihan itu, Suria KLCC akan menjadi anak syarikat milik penuh KLCCP.

Ketua Pegawai Eksekutif KLCCP Datuk Md Shah Mahmood berkata cadangan pengambilalihan itu akan mengukuhkan portfolio keseluruhan kumpulan dan dijangka menjana hasil antara 6% hingga 7%.

“Dengan strategi penyewa yang tertumpu, pemahaman pelanggan yang didorong data dan rancangan jangka panjangnya untuk menggiatkan semula industri runcit, Suria KLCC mempunyai prospek jangka panjang yang positif dan akan menjadi nilai tambah kepada portfolio aset KLCCP Stapled Group,” tambahnya.

KLCCP dan KLCC Real Estate Investment Trust (KLCC REIT) secara kolektif dikenali sebagai KLCCP Stapled Group.

Ia memiliki pelbagai portfolio hartanah yang sebahagian besarnya terletak di dalam pusat bandaraya Kuala Lumpur termasuk Menara Berkembar Petronas, Menara ExxonMobil dan Menara 3 Petronas di bawah KLCC REIT.

Sementara itu, aset dan aset bukan milik penuh yang mempunyai potensi pembangunan dan pembangunan semula, Suria KLCC, Mandarin Oriental, hotel Kuala Lumpur dan tanah kosong (Lot D1) adalah di bawah KLCCP, juga mempunyai 33% pegangan dalam Menara Maxis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast