Maritim Malaysia menemui sebuah bot bersama lapan paket plastik lut sinar berisi serbuk ketulan kristal disyaki dadah merbahaya jenis Methamphetamine di kedudukan kira-kira 2.8 batu nautika barat daya Kuala Kuantan pada semalam

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menahan sebuah bot bersama lapan paket serbuk ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine (syabu) di perairan Kuantan, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot jenis gentian kaca tanpa nombor pendaftaran ditahan di kedudukan kira-kira 2.8 batu nautika barat daya Kuala Kuantan ketika pasukan bot peronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin.

”Menyedari kehadiran anggota Maritim Malaysia, pemandu bot iaitu seorang lelaki telah bertindak memecut laju menuju ke kawasan pokok bakau berhampiran Pulau Biawak dan melarikan diri meninggalkan bot.

”Hasil pemeriksaan menemukan wang tunai sebanyak RM198, sebuah telefon peribadi serta beberapa dokumen pengenalan diri yang mencurigakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Kamal Ariffin, pemeriksaan di atas bot menemui sebuah kotak yang mengandungi sebungkus plastik lutsinar berisi penyedut minuman warna biru dan sebungkus plastik lutsinar.

Tambah beliau, pihaknya mendapati dalam plastik tersebut terdapat lapan paket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan kristal yang dianggarkan bernilai RM20,000 disyaki dadah jenis methamphetamine.

”Bot beserta barangan rampasan yang dianggarkan bernilai hampir RM50,000 itu telah diserahkan kepada pengawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast