KUALA LUMPUR – Keenggaan beberapa mangsa pemerdagangan manusia di Laos yang enggan mengaku telah diselamatkan oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) tidak mematahkan semangat badan itu untuk terus menghulurkan bantuan.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, terdapat 15 mangsa pemerdagangan manusia Zon Ekonomi Khas Segi Tiga Emas GTSEZ) yang telah menghubungi pihaknya.
Difahamkan, seramai tujuh individu mendakwa mereka berjaya keluar dari Laos atas usaha sendiri.
Hishamuddin berkata, pihaknya ‘lega’ kerana tujuh mangsa itu berjaya kembali ke tanah air dan tidak perlu lagi membahayakan nyawa mereka di Laos.
“Laos ketika ini menjadi hab terbaharu sindiket berkenaan selepas ramai operator jenayah tersebut yang sebelum itu berpusat di Myanmar terpaksa memindahkan operasi mereka. Ramai rakyat kita terpedaya.
“Apa yang terjadi semalam, mangsa cuba melarikan diri daripada ditemuramah malah dakwa bukan MHO bantu mereka. Itu bukan sesuatu yang menjadi fokus kami sebaliknya kita jauh lebih komited dalam cuba membantu pihak berwajib membanteras sindiket seperti ini,” katanya.
Hishamuddin berkata, orang ramai perlu lebih berhati-hati untuk mengelak daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang semakin licik termasuk mengunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengumpan mangsa baharu.
Jelas beliau, mangsa diumpan gaji tinggi untuk bekerja di luar negara menggunakan teknologi AI dengan imej rekaan watak wanita cantik selain mengajak golongan muda pergi bercuti. -MalaysiaGazette
Mangsa pemerdagangan manusia lari di KLIA selepas diselamatkan MHO