KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali sebagai Nur Sajat yang kini bermaustautin di Australia mengesahkan doktor hanya mengesyaki dia menghidap penyakit kanser.
“Dia kenal saya, tanya ada pening-pening ke? Dia periksa tekak, mata dan minta jalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh.
“Biasalah doktor di sini akan tanya macam-macam bila tengok kita kurus. Lagipun, doktor tahu saya ada kad kesihatan, jadi nak buat tuntutan,” katanya dalam perkongsian TikTok, semalam.
Sajat menambah, berat badannya semakin berkurangan mungkin disebabkan aktif menyertai kelas tarian selain berdiet.
“Saya kurus sebab masuk kelas menari, selain tukar rutin diet. Doktor pula bila tengok kita kurus, dia akan mengesyaki yang bukan-bukan.
“Tak tahulah betul atau tidak, kalau betul pun biarlah. Tak kuasa, malas nak fikir. Lagipun, anda semua bukan sayang saya pun,” ujarnya secara berseloroh.
Perkara tersebut membuatkannya lebih beremosi, tambahan pula pada ketika dia tinggal bersendirian di negara orang.
“Anda semua pun asyik tanya adakah saya sakit? Benda itu buatkan saya jadi emosi, sudahlah saya seorang diri di sini.
“Di sini doktor cakap saya sakit, anda pun asyik tanya benda yang sama, sakit hati pula saya dengar.
“Apa pun saya berharap apa yang disebutkan doktor itu sekadar andaian, bukan betul-betul,” ujarnya.
Dalam perkongsian sama, Sajat menyatakan hanya dapat ke hospital semula pada minggu depan selepas disahkan Covid-19.
Kini dia yang berdepan simptom batuk serta rasa mual perlu menjalani fasa kuarantin di kediamannya sahaja.
Beberapa hari lalu Sajat menangis ketika membuat pengakuan mengejutkan apabila mendakwa dia hanya menunggu masa berikutan serangan kanser. – MalaysiaGazette