Ketibaan Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim ketika Majlis Perasmian Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara Malaysia. Foto SYADILA AMARI, 27 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Terserah kepada mana-mana wakil rakyat yang mempunyai lebih dari satu pencen untuk menolak salah satu daripadanya jika mempunyai tanggungjawab moral untuk berbuat demikian.

Ini antara pandangan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyerahkan isu itu kepada mana-mana bekas wakil rakyat termasuk yang pernah menyandang jawatan menteri, menteri besar dan lain-lain.

Kata Anwar, tindakan menolak daripada menerima lebih daripada satu pencen sebenarnya akan membantu kerajaan menjimatkan kos perbelanjaan.

Jelas beliau, pemansuhan pencen wakil rakyat buat masa ini memerlukan pindaan undang-undang jika perkara itu dimuktamadkan oleh kerajaan.

“Kita harap orang mendapat gaji menteri, menteri besar dan pekerjaan di jabatan kerajaan tiga empat pencen paling kecil mungkin melihat keadaan ini dengan memenuhi tanggungjawab moral menolak pencen lain.

“Pilih satu, tapi ini mungkin terserah kepada mereka,” katanya kepada media selepas Majlis Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke- 60 Zoo Negara di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman berpandangan bayaran bulanan diberikan kepada bekas wakil rakyat perlu diteruskan kerana ia bukan dikategorikan sebagai pencen sebaliknya sumbangan kerajaan kepada wakil rakyat sebagai ganjaran.

Sebelum ini, Anwar menegaskan, langkah memansuhkan pencen dalam kalangan penjawat awam juga terpakai membabitkan ahli-ahli politik termasuk wakil rakyat.

Dalam pada itu, kata Anwar, langkah untuk memansuhkan pencen wakil rakyat memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu dan ia tidak boleh dilakukan begitu sahaja.

“Sebenarnya masalah orang tidak baca Perlembagaan tidak membolehkan kita membatalkan apa telah dipersetujui sebelum ini. Kita sebenarnya hendak mulakan peraturan baharu yang boleh berkuat kuasa setelah diputuskan bagi jawatan baharu termasuk jawatan politik.

“Ini cadangan kita yang akan dibentangkan di Jemaah Menteri dan kemudian di Parlimen kerana melibatkan beberapa pindaan undang-undang. Kita tidak boleh batalkan yang sedia ada kerana adanya perjanjian jaminan Perlembagaan,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. khidmat baru 1 penggal, pegang jawatan menteri, exco sana-sini, ada kes mahkamah dapat juga pencen. Askar, polis, dan doktor yang bertungkus lumus siang malam untuk selamatkan nyawa rakyat pula nak di hapuskan pencen nya.

Comments are closed.