Datuk Seri Mohamad Hasan

REMBAU – Malaysia akan mengambil bahagian mengemukakan hujahan lisan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda berhubung kekejaman Israel terhadap Palestin pada 22 Feb nanti.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebagai negara yang menyokong kes dibawa Afrika Selatan terhadap Israel di bawah Konvensyen Genosid 1948, beliau sendiri akan membawa pendirian Malaysia mengenai perkara itu ke ICJ.

“Malaysia amat mengalu-alukan dan gembira dengan keputusan yang telah dibuat ICJ semalam yang turut menetapkan enam langkah sementara terhadap kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel sementara menunggu perbicaraan penuh.

“Langkah-langkah awal ini merupakan satu kemenangan bagi negara-negara yang mahu supaya kekejaman pembunuhan beramai-ramai oleh pihak rejim Zionis di Gaza tersebut dihentikan serta-merta.

“Di ICJ itu nanti, kita akan bawa suara Malaysia kerana kita merupakan negara pertama yang menyokong Afrika Selatan yang bawa kes ini di ICJ,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kenduri Rakyat DUN Kota di sini hari ini.

Dalam keputusannya semalam, ICJ mengarahkan Israel melaksanakan enam langkah sementara, termasuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Gaza, memastikan tenteranya tidak lagi melakukan sebarang tindakan genosid serta mencegah dan menghukum sebarang hasutan ke arah genosid.

Israel juga diarah membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza, menghalang pemusnahan dan memastikan pemeliharaan bukti yang berkaitan dengan dakwaan genosid dan mengemukakan laporan kepada ICJ mengenai semua langkah yang diambil dalam melaksanakan perintah berkenaan dalam tempoh sebulan.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau, berharap menerusi langkah sementara itu, Israel selaku negara yang menandatangani Konvensyen Genosid 1948 akan akur dengan keputusan ICJ tersebut.

Beliau turut berharap menerusi langkah sementara itu, bantuan kemanusiaan termasuk perubatan dan makanan dapat memasuki Gaza selepas ini sekali gus menamatkan derita penduduk Palestin.

Sementara itu, beliau turut menyatakan rasa gembiranya apabila rakan sejawatnya, Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock dalam kenyataannya mahu Israel mematuhi keputusan ICJ itu.

“Jerman yang merupakan sekutu terkuat Israel telah minta Israel akur dengan ketetapan sementara ini. Ia satu perkembangan baik, saya gembira beliau keluarkan kenyataan yang mengalu-alukan langkah-langkah sementara ini,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast