Orang ramai tidak melepskan peluang melihat Panda yang menjadi tarikan utama di Zoo Negara Malaysia. Foto SYADILA AMARI, 27 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji untuk berbincang dengan Presiden China, Xi Jinping bagi melanjutkan tempoh masa pinjaman pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang.

Kata Anwar, beliau komited untuk berbincang dengan Jinping kerana melihat keterujaan rakyat Malaysia dengan pasangan haiwan itu yang ditempatkan di Zoo Negara Malaysia ketika ini.

“Saya sendiri akan berhubung dengan Presiden Xi Jinping untuk melihat mekanisme yang boleh dilakukan bagi melanjutkan tempoh panda berkenaan tinggal di Malaysia.

“Saya sangat optimistik bahawa China akan berikan pertimbangan dan sokongan kepada permintaan kita ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke- 60 Zoo Negara di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim dan Datin Sri Wan Azizah memberi makanan kepada Panda ketika Majlis Perasmian Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara Malaysia. Foto SYADILA AMARI, 27 JANUARI 2024.

Untuk makluman, sepatutnya Xing Xing dan Liang Liang yang dipinjamkan kepada Malaysia pada 2014 itu akan akan berada di Malaysia sehingga 20 Mei 2024.

Mengulas lanjut pada sidang media, kata Anwar, Malaysia tidak membayar apa-apa harga kepada China sebaliknya hanya untuk kos penjagaannya seperti kos makanan serta penyelengaraannya sahaja.

“Kita tidak bayar harga panda itu, cuma penjagaannya sahaja dan kalau ada kesediaan. Apabila ditanya kepada orang ramai di antaranya yang berkunjung ke Zoo Negara adalah kerana mahu melihat panda.

“Ada yang cerdik duduk di Kuala Lumpur tetapi pergi ke China untuk lihat panda tetapi bagi rakyat biasa, hanya sekali seumur dapat lihat panda. Itu jugalah pertimbangan saya untuk lanjut masa panda di sini,” ujarnya. -MalaysiaGazette