KUALA LUMPUR – Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK), sehingga 31 Disember 2023 mengoperasi dan menyenggara 7,478 loji rawatan kumbahan awam, 20,952km paip pembetungan dan bertanggungjawab untuk mengosongkan tangki septik individu di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan secara berjadual.

IWK bertanggungjawab untuk memastikan sistem rawatan kumbahan diuruskan dengan baik dan peralatan dapat berfungsi secara optimum memandangkan perawatan kumbahan berlaku 24 jam sehari.

Peranan utama IWK adalah untuk memastikan air kumbahan dirawat mengikut piawaian yang ditetapkan dan selamat untuk dilepaskan semula ke sumber air.

Perkhidmatan pembetungan yang cekap amat penting untuk memastikan tiada isu seperti kacau ganggu dan pencemaran sumber air yang boleh membawa kepada penyebaran penyakit bawaan air.

Sehubungan ini, bagi membolehkan IWK memberikan tahap perkhidmatan yang cekap secara berterusan, pelarasan tarif perkhidmatan pembetungan telah mula dikuatkuasakan pada Oktober 2022 dan dilaksanakan secara berperingkat sehingga tahun 2026 (link di sini).

Pelarasan tarif ini hanya melibatkan pengguna kategori domestik perkhidmatan bersambung dan perkhidmatan pengosongan tangki septik.

IWK sejak Oktober 2022 telah menyalurkan bantuan secara bersasar dalam bentuk pemberian rebat kepada pengguna perkhidmatan pembetungan kategori domestik khususnya kepada pelanggan yang tergolong dalam kategori miskin dan miskin tegar serta berdaftar dengan sistem pangkalan data maklumat eKasih.

Sehingga Disember 2023, sejumlah RM183,000 bantuan rebat telah diberikan kepada pengguna bersasar.

IWK komited dalam memastikan kerja-kerja merawat kumbahan beroperasi dengan baik pada setiap masa.

Namun, kebanyakan sistem pembetungan yang disenggara oleh IWK telah beroperasi dalam tempoh yang lama dan terdapat aset dan peralatan yang telah usang serta perlu diganti atau dinaiktaraf bagi memastikan sistem pembetungan dapat beroperasi dengan cekap dan menepati piawaian kualiti efluen yang ditetapkan.

Begitu juga dengan paip pembetungan bawah tanah, paip yang uzur perlu diganti bagi memastikan kumbahan dapat dialirkan dengan selamat ke loji rawatan kumbahan untuk dirawat dan seterusnya dapat mengelakkan daripada berlakunya kerosakan atau kebocoran paip yang boleh memberi impak negatif kepada sumber air dan alam sekitar.

IWK sentiasa menjalankan kerja-kerja penyenggaraan bagi memastikan efluen terawat yang dilepaskan ke badan air mencapai pematuhan piawaian melebihi daripada 97%.

Bagi pelanggan yang ingin memohon untuk disenaraikan di dalam pangkalan data eKasih, sila layari laman portal Rasmi Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana  Menteri di sini.

Anda juga boleh menghubungi talian perkhidmatan pelanggan IWK di 03-20832828  untuk mengetahui dengan lebih lanjut berhubung rebat IWK. – MalaysiaGazette