Polis menemukan mayat wanita warga Indonesia dengan kecederaan di badan di tangga tepi lif Desa Mentari Petaling Jaya pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Mayat seorang wanita warga Indonesia ditemui dengan kesan kecederaan pada badannya di tepi tangga lif Blok 5, Desa Mentari, Petaling Jaya pagi tadi sebenarnya dibunuh.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mayat berusia 20-an itu kini dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPPUM) untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian.

“Kita percaya mangsa dibunuh namun perlu menunggu keputusan bedah siasat,” katanya hari ini.

Pagi tadi, Mohamad Fakhrudin berkata, polis menerima laporan tentang penemuan mayat mangsa itu kira-kira jam 6.30 pagi hari ini.

“Sepasukan anggota polis telah dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum pemeriksaan polis telah menemui seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah di tepi tangga lift Blok 5, Desa Mentari di sini.

“Tahap kecederaan yang dialami mangsa tidak dapat dipastikan lagi dan masih menunggu pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor untuk menjalankan siasatan.

“Setakat ini suspek belum dikenalpasti polis sementara kita akan membuat pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi untuk membantu siasatan lanjut.

“Kita juga akan merakam keterangan bagi mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian jenayah ini,” tegasnya sambil meminta saksi awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan tampil membantu siasatan.

Mohamad Fakhrudin berkatam pihaknya menggunakan pasukan Unit Anjing Pengesan K9  bagi mengesan bahan bukti termasuk senjata yang digunakan suspek untuk membunuh mangsa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati.- MalaysiaGazette