KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berkata, drama ‘wayang kulit’ untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah berakhir.
Menurut beliau, masanya sudah tiba untuk menggantikan ‘Naratif Melayu’ yang menyaksikan lima Perdana Menteri dalam masa lima tahun dengan ‘Naratif Malaysia’.
“Naratif Malaysia akan menyatupadukan negara ini bagi memulihkan negara daripada kemerosotan yang dialami sejak suku abad lalu dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bertaraf dunia yang hebat,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam di Bagan, Pulau Pinang, malam tadi.
Teks ucapan tersebut disiarkan dalam laman blog miliknya hari ini.
Kit Siang memberitahu, ‘Naratif Melayu’ bermula dengan dakwaan kononnya DAP adalah dalang di sebalik langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) serta Statut Rom pada 2018.
Namun, bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menambah, pihak yang membuat tuduhan tersebut seolah-olah tidak berasa bersalah walaupun ia terbukti tidak benar dan tidak berasas.
“Kemudian tersebar tuduhan yang liar dan tidak masuk akal serta tidak berasas seperti saya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dan Perdana Menteri Singapura yang pertama, Lee Kuan Yew.
“Seperti negara-negara lain di dunia, Malaysia perlu mencari jalan untuk menangani segala pembohongan, berita palsu dan maklumat tidak tepat dalam Era Maklumat ini jika kita tidak mahu menjadi sebuah negara yang berpecah-belah, gagal dan kleptokratik,” jelasnya.
Beliau berkata, Langkah Sheraton yang telah menumbangkan kerajaan yang dipilih rakyat juga telah menyebabkan negara terjerumus dari satu krisis ke krisis lain yang lebih serius.
Kit Siang percaya tempoh 12 bulan akan datang adalah penting dalam sejarah untuk menentukan sama ada Malaysia mampu kembali kepada prinsip asal pembinaan negara bangsa yang dicetuskan oleh pengasas-pengasasnya. – MalaysiaGazette