KPDN Pahang gagalkan cubaan seleweng minyak diesel bersubsidi Gambar : KPDN Pahang

KUANTAN – Seorang lelaki ditahan ketika cuba menyeleweng minyak diesel bersubsidi dengan menggunakan sebuah lori bonded muatan tiga tan di sebuah stesen minyak di sekitar kawasan Inderapura, di sini, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Jeslily Jamaluddin berkata, kegiatan itu dibongkar sepasukan anggota Penguatkuasa KPDN yang menemui lelaki itu sedang mengisi minyak diesel dan dalam keadaan mencurigakan pada pukul 10 malam.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut telah menemui sebuah tangki keluli tambahan yang disyaki diubahsuai bersambung dengan tangki asal kenderaan untuk digunakan bagi aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ekoran itu, pihaknya menahan lelaki berusia 30an itu dan menyita anggaran 1,000 liter minyak diesel kerana tidak memiliki permit kebenaran daripada Pengawal Bekalan.

Tambah Jeslily, pihaknya turut menyita lori bonded 3 tan bersama tangki keluli tambahan yang bernilai RM50,823.00 dipercayai digunakan untuk tujuan tersebut.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Sementara itu, beliau memberitahu, KPDN Pahang berjaya membongkar lapan kes yang berkaitan di bawah Ops Tiris 3.0 dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM381,293.00.

Katanya, mereka yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah AKB 1961 dan boleh didenda lebih RM1 juta bagi kesalahan yang dilakukan pertama kali. – MalaysiaGazette