KUALA LUMPUR – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mensasarkan pertumbuhan produktiviti sebanyak 7% bagi negeri Pahang, menghampiri purata nasional dengan sokongan kecekapan peraturan perniagaan, pengurusan teknologi dan keperluan bakat berkemahiran tinggi pada tahun 2024.
Manakala Rancangan Malaysia Ke-12 menyasarkan pertumbuhan produktiviti Malaysia sebanyak 3.7% dan bagi negeri itu.
Oleh itu, MPC komited untuk meningkatkan produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan perusahaan melalui pendekatan “Membina Ekosistem Yang Teguh” melalui ‘Fast 8’ atau lebih dikenali sebagai F8 telah diperkenalkan pada tahun 2022 dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
Peningkatan produktiviti ini dengan mempercepatkan kelulusan permohonan permit kepada pelabur yang mana kelulusan telah ditambahbaik daripada 24 bulan kepada 8 bulan sahaja bermula permohonan sehingga syarikat dapat beroperasi.
Uji kaji peraturan sedang dilaksanakan bagi memastikan keberkesanan pendekatan ini dalam memudahkan urusan perniagaan.
Dalam Mesyuarat Invest Pahang, Datuk Mohamad Nizar Najib, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi menggesa semua agensi yang terlibat mengambil perhatian kepada pendekatan F8 dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan memudahcara sebarang isu dan cabaran yang dihadapi oleh pelabur dalam menjalankan perniagaan.
Pada mesyuarat yang sama, Pengarah MPC Pahang, Dr. Noor Aishah Hassan mengajak semua agensi untuk bersama-sama menyokong F8 dalam memastikan Pahang menjadi destinasi utama pilihan pelabur.
Tambah beliau lagi usaha ini selaras dengan rangka kerja Ekonomi Madani yang mana salah satu sasarannya adalah memastikan Malaysia berada di kedudukan 12 teratas dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) pada tahun 2030.
Sasaran ini dapat dicapai dengan sinergi oleh semua agensi negeri ke arah memudahkan urusan perniagaan, perdagangan, pelaburan dan seterusnya melonjakkan produktiviti, daya saing dan ekonomi negeri menyamai purata nasional menjelang tahun 2030. – MalaysiaGazette