Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah melaksanakan tugas sebagai penasihat state-government 4 atau SG dengan baik meskipu tidak meuar-uarkan usaha itu kepada umum, kata Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Beliau berkata, Dr Mahathir telah memainkan peranan penting dalam membantu ekonomi di negeri pembangkang iaitu di Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis yang menyaksikan beberapa kejayaan telah dicapai.

“Dia bukan cakap kosong tetapi dia telah panggil (wakil) SG4 untuk buat pembentangan kepada pelabur asing. Dia benar-benar bawa pelabur asing datang ke SG4,” katanya dalam temu bual khas bersama media di Ibu Pejabat Gerakan di sini hari ini.

Dominic berkata demikian ketika ditanya kenyataan kontroversi Dr Mahathir yang mendakwa masyarakat India tidak setia kepada Malaysia kerana “masih terikat dengan negara asal” dan adakah tugasnya sebagai penasihat SG4 akan dibatalkan.

Baru-baru ini, dalam temubual dengan saluran berita Tamil, Thanthi TV dari Chennai, India, Dr Mahathir dipetik berkata, orang India di Malaysia mesti ingat mereka ialah rakyat Malaysia lebih daripada pendatang.

Ditanya sama ada ini bermakna orang India di Malaysia harus berasimilasi sepenuhnya dan “menjadi Melayu”, Dr Mahathir bersetuju.

Mengulas lanjut, Dominic meskipun kecewa dengan tindakan Dr Mahathir itu namun kenyataan tersebut tidak menjejaskan kehadiran pelabur ke SG4.

“Pemimpin PN tidak setuju dengan kenyataan itu tetapi jika kita mahu kekalkan dia sebagai penasihat adalah perkara yang berbeza di SG4, (dia) bantu empat negeri dapat pelabur asing,” ujarnya.

Malah beliau berkata, partinya akan tegas menyatakan pendirian sekiranya berbeza pendapat dengan Dr Mahathir.

“Contoh, pendirian kita memang kita tidak setuju kenyataan Dr Mahathir katakan orang India dan Cina tidak taat sepenuhnya.

“Bukan kali ini sahaja, sebelum PRK Pulai dia (Dr Mahathir) keluarkan kenyataan sebegitu, kita jumpa dia. Dan cakap tak setuju.

“Apa yang kita tak setuju kita akan bangkit, bukan sahaja jumpa Mahathir, tetapi bangkit (dalam mesyuarat) PN (Perikatan Nasional),” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast