Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori yang didakwa membuat ugutan bunuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di laman sosial dijatuhi hukum penjara enam bulan, berkuatkuasa hari ini.

Tertuduh, Faizal Mohamad, 35, menangis dan memohon supaya mendapat hukuman lebih ringan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, N Priscilla Hemamalini, hari ini.

Faizal ketika pertuduhan dibacakan mengaku bersalah terhadap perbuatan membuat dan memulakan penghantaran menggunakan perkhidmatan komunikasi yang mengancam sifatnya dengan niat menyakitkan orang lain.

Dia menulis di laman tiktok miliknya iaitu; “hari ini aku nk transfer RM5 juta kat sape2 yg nak..tapi kena buat kerja sikit la..tembak mati pmx dan menteri2 b****** Dan geng2 dap l*******..”.

Tertuduh membuat hantaran itu yang telah dibaca pada 26 November 2023, pada 12 tengah hari di sebuah kondominium di Jalan Tong Shin, di sini.

Pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Sesyen ini memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Tertuduh sejurus selepas dijatuhi hukuman memohon kepada hakim supaya ia diringankan memandangkan hanya beliau sahaja menanggung keluarga termasuk isteri, dua orang anak kecil dan ibu sakit.

Tertuduh juga tidak mewakili peguam.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal agar ia menjadi pengajaran kelak memandangkan hantaran yang dibuat oleh OKS adalah tidak wajar sama sekali.

Sebelum ini media melaporkan pemilik akaun TikTok iaitu tertuduh muat naik video menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang menembak mati Perdana Menteri, menteri dan ahli-ahli sebuah parti politik.

Video berkenaan sudah dipadamkan selepas ia menjadi viral. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast