PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menafikan dakwaan beliau menjadi sumber yang dipetik media Singapura dalam laporan mengenai keputusan Lembaga Pengampunan berhubung kes rasuah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebaliknya beliau berkata, semua agensi media sama ada dalam mahu pun luar negara agar menunggu Lembaga Pengampunan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut.
“Saya minta media di dalam dan luar negara untuk kita tunggu kenyataan rasmi (Lembaga Pengampunan). Malangnya saya telah bertemu dengan wartawan daripada Channel News Asia (CNA), bukan saya yang menjadi sumber yang kononnya menyampaikan maklumat itu.
“Saya minta bantuan kepada semua rakan media, let’s not jump the gun, biar kita tunggu kenyataan rasmi dibuat dan ikut proses itu.
“Kalau tak nanti menimbulkan pelbagai reaksi dan bagi saya kita perlu menonjolkan profesionalisme dalam membuat pelaporan,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.
Terdahulu, media asing melaporkan hukuman penjara 12 tahun bekas Perdana Menteri itu atas tuduhan rasuah dikurangkan kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan selepas mesyuaratnya kelmarin, kata sumber termasuk pegawai kanan kerajaan kepada CNA.
Media Singapura itu mendakwa, keputusan lembaga pengampunan itu yang diketuai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) juga termasuk pengurangan denda RM210 juta (AS$44.4 juta) kepada jumlah yang tidak ditentukan.
Ketika ditanya mengenai masa yang diambil oleh Lembaga Pengampunan untuk mengeluarkan kenyataan, Fahmi berkata, semua pihak kena menunggu dengan sabar.
“Tunggu kenyataan, don’t jump the gun, Kita harap dalam masa terdekat (kenyataan rasmi keluar), itu sahaja saya boleh kata.
“Saya dan anda, kita sama-sama kena tunggu,” katanya.
Bagaimanapun beliau turut mengesahkan mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini ada membincangkan keputusan Lembaga Pengampunan.
“Kita ada bincang tapi perkara yang khusus berkaitan dengan Lembaga Pengampunan itu akan diselaraskan oleh Lembaga Pengampunan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette