KUALA LUMPUR – Sultan Johor Sultan Ibrahim dijadual mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini bagi tempoh lima tahun.

Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan itu akan diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara.

Pada istiadat itu akan turut menyaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.

Di hadapan sultan dan raja Melayu, kerabat diraja serta dif-dif kenamaan, Sultan Ibrahim akan menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan, yang isi kandungannya dibacakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum itu, Sultan Ibrahim dijadual berangkat dari Istana Bukit Serene, Johor pada 7.45 pagi dan dijadual berlepas dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ke ibu negara.

Istiadat Keberangkatan Tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan bermula di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang kira-kira 9.45 pagi sebelum Sultan Ibrahim berangkat ke Istana Negara bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dan anakanda-anakanda turut dijadual berangkat ke istiadat bersejarah itu.

Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) pada Oktober tahun lepas yang turut memilih Sultan Nazrin sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, semalam.

Sultan Ibrahim yang diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Jan 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast