KUALA LUMPUR – Pelakon, Saharul Ridzwan mengakui kereta jenama mewah Mercedes Benz yang dibeli pada 2018 bertukar menjadi beban gara-gara termakan pujukan rakan yang mahu dia kelihatan hebat sebagai usahawan.
Menerusi Instagram miliknya, Saharul atau Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 35, ketika itu dia menyangka memandu kenderaan mewah dapat menjadi lambang kemegahan dan kini ia merupakan kesilapan besar.
“Kereta ini memang jarang bergerak dan saya gunakan untuk ke lokasi penggambaran. (Sekarang) kereta ini parking di rumah ibu dan dia minta saya menjualnya.
“Saya beli pada tahun 2018, masa itu terpengaruh dengan rakan sebab katanya nampak gah bagi orang berniaga. Tapi akhirnya ia menjadi beban kepada saya.
“Lagi pun sekarang saya sudah ada tiga orang anak, tak muat nak masuk ke dalam kereta dua pintu ini,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di media sosial miliknya.
Disebabkan kereta itu jarang digunakan, Saharul mahu menjual kereta tersebut pada harga RM84,000 bagi melunaskan baki pinjaman bank yang dibuat sebelum ini.
Menerusi video yang dimuat naik, Saharul turut menunjukkan keadaan kereta tersebut yang masih dalam keadaan baik.
“Saya ambil pinjaman penuh RM200,000 dan bayar setiap bulan. Sudah bayar RM145,000 tapi kereta tak pakai pun. Jadi saya jual hanya untuk selesaikan baki hutang bank sahaja.
“Ada yang persoalkan saya jual kereta ini sehingga kata kononnya saya ‘pusing’ meter. Saya tak tahu pun macam mana nak buat begitu. Enjin masih baik dan tidak pernah kemalangan,” ujarnya.
Sementara itu, Saharul menasihatkan orang ramai agar tidak mengikut jejaknya yang membeli sesuatu hanya untuk mempamerkan kemewahan.
“Jika tiada yang mahu beli saya akan terus bayar bank. Kalau beli untuk kita nak nampak gah atau pun nak dapatkan perhatian daripada orang, elakkan sebab benda ia akan jadi beban pada kita,” jelasnya. – MalaysiaGazette
pls tell Shahril, i’m interested to by. his merc pls wasaap me 012 2404747