Datuk Aaron Ago Dagang bersama tetamu kehormat lain ketika melancarkan Kongsi Meriah di Mydin.

PETALING JAYA – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan menggiatkan lagi usaha untuk melebarkan jaringan kolaborasi strategik bersama syarikat korporat dan swasta.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, syarikat korporat dan swasta mempunyai peranan penting dalam memupuk sikap perpaduan dan keharmonian masyarakat negara ini.

“Ini harapan kita sebab kalau kita ingin mengadakan program yang membawa semua masyarakat berbilang kaum syarikat besar perlu dilibatkan seperti Mydin.

“Kita dulu adakah di tempat-tempat lain seperti semasa melancarkan Ini Warisan Kita di sebuah pasar raya besar.

“Tujuan kita adalah untuk merapatkan hubungan antara masyarakat kita yang berbilang kaum, agama dan budaya. Secara tidak langsung akan membawa perpaduan dalam masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan kempen Kongsi Meriah sempena Tahun Baharu Cina anjuran Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin).

Pada majlis itu, Aaron turut menyaksikan majlis penyerahan sijil Malaysia Book of Records kepada Mydin selepas berjaya mengedar dan mencantumkan 100,000 kraf naga kertas.

Majlis turut dihadiri timbalannya, Senator Sarawwathy Kandasami dan Pengarah Eksekutif Mydin, Ahimmat Mydin.

Aaron menyeru syarikat korporat dan swasta agar mencontohi inisiatif yang dilaksanakan oleh Mydin dalam memupuk sikap perpaduan dan keharmonian masyarakat negara ini.

KPN dan Mydin Prihatin juga menjalin kerjasama dalam mengenalpasti dan mengagihkan bantuan sumbangan Bakul Rahmah Mydin kepada 500 orang penerima di negeri Selangor, Melaka dan Johor.

Menurutnya, tahun lalu, KPN telah berjaya melaksanakan 661 program yang bertujuan untuk mewujudkan platform dan tapak integrasi yang dapat meningkatkan interaksi sosial antara rakyat berbilang bangsa.

Ia dilaksana melalui tiga kluster utama iaitu Semarak Perpaduan, Semarak Kenegaraan dan Komuniti Rahmah.

“Mungkin lebih banyak tahun ini. Sebab dulu kita masih dalam perancangan awal sekarang kita sudah mengadakan perancangan strategik di kementerian perpaduan negara. Banyak lagi program yang akan kita adakan.

“Bukan sahaja Ini Warisan Kita, banyak lagi yang menjurus kepada perpaduan. Kementerian kita adalah yang program best. Semua program yang kita ada adalah untuk merapatkan silaturahim antara semua masyarakat antara kaum,” katanya.

Aktiviti yang dilaksanakan termasuk membina Komuniti Rahmah, Projek Ekonomi Komuniti KRT, RT Cares, Dapur Komuniti KRT
dan Program Integrasi Sosial Untuk Komuniti (Insan).-MalaysiaGazette