JASIN – Seorang peniaga warga Kemboja ditahan polis selepas dipercayai merogol anak saudaranya berusia 13 tahun di sebuah kedai pakaian milik keluarganya di Merlimau di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang, lelaki berusia 27 tahun itu dikatakan telah memanggil pengadu yang juga anak saudaranya ke ruang belakang kedai ketika pelajar sekolah itu sedang berehat selepas pulang dari sekolah.
Difahamkan ketika kejadian, isteri dan ibu lelaki berkenaan tiada di premis kerana menghantar pakaian kepada peniaga pasar malam di kawasan berhampiran.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, ketika berada berdua di dalam kedai, suspek telah didakwa meraba kemaluan pelajar sekolah terbabit dan membuka seluar anak saudaranya itu sebelum merogolnya.
Suspek memberi amaran supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa.
“Mangsa yang buntu sambil menangis kemudian segera menghubungi ibu saudaranya sebelum menceritakan perbuatan bapa saudaranya itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Jamil berkata, siasatan di premis berkenaan mendapati, kejadian berlaku di bilik belakang kedai pakaian dan tiada rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi kejadian.
“Suspek kemudian ditangkap oleh anggota Bahagian D11 dan D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di rumahnya di Bukit Katil kira-kira 12 tengah malam tadi.
“Majistret Mohd Firdaus Salleh di Mahkamah Jasin hari ini membenarkan permohonan reman selama tujuh hari ke atas suspek sehingga 7 Februari ini,” katanya.
Tambahnya, kes didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan maksimum, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette