M.Kumar

JOHOR BAHRU –  Sepuluh individu termasu tiga lelaki warga tempatan, lima wanita warga Thailand, masing-masing seorang wanita China dan Vietnam ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, mereka yang berusia 26 hingga 56 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.50 petang hingga 8.30 malam pada 25 Januari lalu.

“Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas 15 telefon bimbit pelbagai jenama, dua anak kunci rumah, pelbagai peralatan untuk kegiatan pelacuran dan wang tunai berjumlah RM49,600.

“Sindiket ini juga dipercayai terlibat dengan kegiatan dadah susulan penemuan pelbagai jenis dadah dengan anggaran berat 2580.80 gram (gm).

“Hasil siasatan lanjut didapati tiga lelaki warga tempatan terbabit berperanan sebagai pengurus rumah persundalan dan transporter manakala wanita warga China berperanan sebagai penolong pengurus rumah persundalan dan selebihnya adalah pekerja seks,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pertuduhan juga dibuat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

“Seramai lima individu telah dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam.

“Sementara itu lima lagi masih dalam siasatan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan akan dituduh bagi kes pelacuran,” katanya.-

Sementara itu, Kumar berkata, kejayaan operasi berkenaan adalah hasil maklumat risikan pihak polis dan juga maklumat daripada orang awam.

“Polis Johor memandang serius dan akan sentiasa bertungkus-lumus bagi membanteras kegiatan pelacuran ini,” katanya. – MalaysiaGazette