Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengaul Yee Sang bersama warga sekolah pada majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Negeri Selangor di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua, Kajang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 01 FEBRUARI 2024.

KAJANG – Pentadbiran sekolah perlu mengadakan perbincangan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berhubung penganjuran majlis graduasi murid.

Langkah itu penting, sebelum sebarang keputusan mengenai penganjuran majlis tersebut dibuat oleh sekolah, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau menegaskan, asas kepada graduasi adalah meraikan anak-anak dalam suasana yang meriah.

“Perbincangan dengan PIBG sangat penting, kena selesaikan di peringkat sekolah dan kalau ada bantahan, kena ambil pandangan.

“Kementerian galakkan majlis sederhana, tapi meriah dan penuh penghargaan, khususnya kepada anak-anak kita,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Penyerahan Cek Bantuan Awal Persekolah Peringkat Selangor di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yu Hua, di sini hari ini.

Sebelum ini, Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Dr Mohamad Ali Hassan mencadangkan lebih baik sekolah dan PIBG berjimat kerana keadaan ekonomi tidak menentu dan menggunakan dana untuk manfaat lain lebih penting.

Katanya lagi, trend berbelanja secara boros dengan mengadakan majlis graduasi di hotel wajar dielakkan kerana ia membawa banyak implikasi negatif merangkumi semua pihak daripada pelajar, ibu bapa hinggalah institusi sekolah itu sendiri.

Awal minggu ini, seorang pelakon wanita mempersoalkan tindakan sekolah menjadikan trend penganjuran hari graduasi murid di hotel lima bintang dengan bayaran antara RM150 hingga RM200 setiap pelajar.

Dia turut mendakwa tindakan guru besar sengaja memilih mengadakan majlis itu di hotel mewah, seolah-olah mahu menunjukkan sesebuah sekolah itu bertaraf mewah dan hebat di media sosial. – MalaysiaGazette