Ahmad Hisham Mohd Tajuddin dan Zainuddin Abdul Majid (berbaju hitam) meninggalkan perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 02 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Penyelia stesen minyak dan seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberikan keterangan palsu yang bercanggah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika menjadi saksi perbicaraan kes membabitkan bekas Setiausaha Politik Menteri Pertahanan sebelum ini.

Zainudin Abdul Majid, 52 sebagai penyelia stesen minyak dan Ahmad Hisham Mohd Tajuddin, 53 pemilik syarikat Aqsa Solutions dituduh memberikan keterangan palsu ketika menjadi saksi perbicaraan kes rasuah membabitkan Setiausaha Politik bekas Menteri Pertahanan, Mohd Azhar Che Mat Dali pada tahun 2023.

Mengikut pertuduhan, Zainudin sebagai saksi ke-54 kes tersebut telah memberikan keterangan palsu di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur pada 21 Mac dan 7 April 2023 yang tidak selaras dengan pernyataan diberikan kepada SPRM.

Manakala, Ahmad Hisham pula didakwa memberikan keterangan palsu sewaktu menjadi saksi ke-55 di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur pada 9 Mei dan 9 Jun 2023 yang tidak selaras dengan pernyataan diberikan kepada agensi siasatan berkenaan.

Zainudin didakwa atas lima pertuduhan di bawah Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009.

Manakala seorang lagi tertuduh berhadapan dengan empat pertuduhan di bawah Seksyen yang sama kerana menjadi saksi belot dan telah menyebabkan pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen permintaan serta penerimaan rasuah membabitkan kes Mohd Azhar.

Pertuduhan dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rozina Ayob.

Hakim Rozina kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dihadapi mereka.

Selain itu, tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM setiap bulan.

Selain itu mahkamah menetapkan 26 Februari 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Farah Yasmin Salleh di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Wan Shahrizal Wan Ladin.

Sebagai rekod, kedua-dua tertuduh sebelum ini antara 57 saksi yang telah dipanggil bagi pertuduhan kes Ops Prisma II, di mana pada Oktober 2020, Mohd Azhar telah dituduh dengan tujuh pertuduhan meminta dan menerima rasuah di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Mohd Azhar merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Mohamad Sabu ketika menjadi Menteri Pertahanan sebelum ini.-MalaysiaGazette