Rashifa menyerahkan memorandum membabitkan isu Internship ke perhatian menteri Sumber Manusia menerusi Pegawai Tugas-Tugas Khas KSM di hadapan bangunan Parcel D, Putrajaya pagi hari ini.

PUTRAJAYA – Kerajaan diminta segera memperkenalkan dasar perlindungan untuk mahasiswa yang menjalani latihan industri (LI) supaya mereka mendapat bayaran setimpal dan relevan daripada syarikat-syarikat.

Seruan itu dibuat oleh 15 wakil penuntut universiti tempatan yang menyerahkan memorandum kepada Menteri Sumber Manusia.

Wakil mereka Rashifa Aljunied, 25, berkata, mereka terpaksa membawa isu berkenaan kepada perhatian kerajaan kerana tidak dapat menerima hakikat pada masa ini masih wujud kelompongan dalam Akta Kerja 1955 atau Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Pelajar Jurusan Pengajian Antarabangsa dari Universiti Malaya itu menegaskan, ketidakjelasan ini mengakibatkan penindasan kepada pelatih industri di Malaysia dan menganggap perkara itu tidak boleh dibiarkan berlaku terhadap mahasiswa yang bakal bergelar graduan.

“Seseorang pelatih bukan sahaja ingin mendapat pengalaman, mereka juga bekerja untuk majikan, malangnya pengalaman tidak boleh menggantikan wang ringgit untuk membawa sewa rumah, pengangkutan, makan minum sepanjang mahasiswa menjadi pelatih di syarikat.

“Latihan industri adalah satu kerja kursus yang wajib dilaksanakan oleh mahasiswa dalam tempoh minimum bermula tiga bulan dan ke atas…jadi mahu atau tidak, mereka perlu juga menjadi pelatih walaupun tidak berbayar hanya untuk memenuhi syarat menjadi seorang graduan. Pada masa sama mereka terpaksa berdepan cabaran kos sara hidup tinggi.

“Saya juga tahu ada sebilangan kecil syarikat yang membayar pelatih. Tapi hanya kecil bilangan mereka dan kebanyakannya hanya tertumpu di Kuala Lumpur sahaja. Sementara di negeri lain seperti Terengganu, Perak, Johor, Sabah masih banyak ketinggalan dalam hal ini,” katanya dalam sidang media di hadapan Bangunan Parcel D di sini pagi tadi.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Sumber Manusia iaitu Chee Yeeh Cheau di pondok keselamatan Parcel D, di sini jam 9.30 pagi tadi.

Rashifa

 

Rashifa berkata, beberapa negara antaranya Afrika Selatan, Argentina, Australia dan Perancis telah mengambil langkah drastik dalam undang-undang negara untuk melindungi pelatih mahasiswa daripada ditindas majikan dengan melindungi golongan ini dalam Akta Pekerjaan.

Di bawah akta itu, pelatih industri dibayar secara mandatori, selain melarang pelatih menggantikan kakitangan sedia ada.

Oleh itu, beliau mahu kerajaan menggubal dan meminda dasar dan akta sedia ada bagi membolehkan hak mahasiswa pelatih di negara ini terus dibela dengan kadar bayaran yang relevan.

Katanya, pihaknya mahu bersemuka dengan Steven Sim untuk membincangkan lebih lanjut isu tersebut untuk mencari penyelesaian kekal.

Rashifa berkata, kumpulan mahasiswa bersedia untuk bertemu menteri sama ada di kementerian atau di Parlimen untuk perbincangan jitu.

Ditanya sama ada pihaknya mempunyai cadangan bayaran munasabah untuk diketengahkan, Rashifa bagaimanapun berkata, perkara itu terpulang kepada kementerian berkaitan untuk menentukannya.

“Kami tiada bidang kuasa mencadangkan jumlah bayaran, lagipun kami tak nak angka itu menjadi ‘benchmark’ oleh sesiapa.. lagipun kos sara hidup di luar sangat tinggi dan jika sebarang amaun bayaran yang dianggap relevan ikut kesesuaian situasi semasa, kami boleh terima baik.

“Kerajaan mempunyai sumber yang banyak untuk menjalankan kajian mendalam bagi menentukan jumlah bayaran munasabah mengikut kesesuaian situasi kos sara hidup, selain melindungi hak serta kebajikan mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette