Sebuah restoran mamak di Jalan Hang Tuah, Melaka yang tular video jijik seorang pekerjanya kencing di longkang semalam diarah tutup selama dua minggu sehingga 14 Februari ini.

MELAKA – Sebuah restoran mamak di Jalan Hang Tuah di sini yang tular video jijik seorang pekerjanya kencing di longkang semalam diarah tutup selama dua minggu sehingga 14 Februari ini.

Arahan penutupan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu serbuan diketuai Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Dorothy Dayang Henry Sum.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati premis terbabit melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak mencapai markah kebersihan ditetapkan sehingga terpaksa diarah tutup 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

“Premis ini juga dikenakan empat notis kompaun berjumlah RM1,500 termasuk dua notis di bawah Peraturan 33 berkaitan kebersihan diri pekerja.

“Serbuan dibuat daripada aduan diterima susulan tular video seorang individu dipercayai pekerja restoran buang air kecil di longkang berhampiran,” katanya ketika ditemui pemberita dalam operasi lewat petang semalam.

Dorothy Dayang Henry Sum

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan perbuatan seorang lelaki dipercayai pekerja restoran mamak berkenaan membuang air kecil di longkang kawasan terbuka di belakang bangunan berhampiran premisnya bekerja.

Tindakan menjijikkan itu sempat dirakamkan seorang pengguna sebelum video berdurasi 21 saat itu tular di media sosial.

Ketika pemeriksaan, seorang pekerja restoran terbabit mengaku dia adalah individu dalam video berkenaan.

Mengulas lanjut Dorothy berkata, siasatan mendapati pemilik restoran terbabit menyewa sebuah bangunan bersebelahan premis itu yang dijadikan stor simpanan barang dilengkapi tandas namun tiada bekalan air.

Keadaan stor simpanan barang restoran yang mempunyai tandas namun tiada bekalan air.

“Sepatutnya premis makanan perlu mempunyai tandas untuk kemudahan pelanggan dan pekerja bukannya seperti ini tandas disediakan dalam stor yang tiada bekalan air.

“Keadaan ini menyebabkan pekerja terpaksa pergi ke tempat lain menggantikan fungsi tandas, selain stor itu juga dalam keadaan berselerak dan kotor dengan puntung rokok, ” katanya.

Tambahnya, restoran sama sebelum ini pernah diarah tutup kerana kotor iaitu dua kali pada 2022, namun terus mengulangi kesalahan serupa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast