Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Penyokong-penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak berasa kecewa disebabkan bekas Perdana Menteri itu tidak diberikan pengampunan penuh terhadap hukuman yang dikenakan terhadap beliau.

Pengerusi Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, pihaknya berpendapat Najib tidak bersalah dan ia merupakan ketidakadilan terhadap bekas Presiden UMNO itu.

“Penyokong-penyokong kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu ‘Bossku’ menghormati keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan bekas Presiden UMNO itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

“Kami kecewa dengan keputusan itu kerana mengharapkan Datuk Seri Najib mendapat pengampunan penuh.

“Kami penyokong Bossku kekal berpendirian beliau tidak bersalah dan ia satu ketidakadilan besar berlaku ke atas Najib,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa berkata, keluarganya kecewa dengan keputusan Lembaga Pengampunan yang tidak memberikan pengampunan penuh dan dibebaskan serta merta.

Syed Muhammad Imran bagaimanapun berkata, pihaknya tetap menghomati keputusan badan itu dan keputusan Lembaga Pengampunan pada hari ini sudah dijangkakan.

“Dalam hal ini, kami penyokong Bossku kekal untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) kerana keadilan terhadap Najib masih tidak ditegakkan, selain dipandang remeh oleh kepimpinan tertinggi UMNO walaupun berada dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Terdahulu, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan bekas Presiden UMNO itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Tarikh tersebut adalah enam tahun lebih awal daripada tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Urusetia Lembaga Pengampunan dalam satu kenyataan memaklumkan, sekiranya Najib tidak membayar denda tersebut, tempoh penjara beliau ditambah selama setahun daripada tarikh pembebasannya itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast