Gambar hiasan

PASIR PUTEH – Program pertanian kluster cili dilancarkan baru-baru ini bagi membuka peluang pekerjaan, terutamanya kepada golongan B40 dan miskin tegar di Jajahan Pasir Puteh serta negeri Kelantan.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Zahid Ismail berkata, program itu merupakan anjuran pihak MPC dengan kerjasama Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan dalam usaha meningkatkan produktiviti dan kecekapan sektor agromakanan di negeri tersebut.

Menurutnyna, pojek rintis itu juga mampu melonjak produktiviti dan nilai tambah sektor pertanian selain membuka peluang pekerjaan.

”Projek inovatif diterajui oleh GrasiCili ini menggunakan teknologi moden dan akan beroperasi di atas tanah berkeluasan 10 ekar berkonsepkan pertanian kontrak.

“Model pertanian skala ekononi ini terbukti berdaya saing dan bernilai tinggi apabila kos dapat dikurangkan melalui skala operasi dan pengeluaran yang tinggi dengan penggunaan teknologi dan automasi, pemantauan kualiti, kawalan risiko dan sebagainya.

”Aktiviti operasi, infrastruktur, logistik dan pemasaran juga dijalankan secara berpusat dan setempat memastikan kecekapan dan produktiviti ladang di tahap optimum.

”Sistem pemasaran yang sistematik oleh GrasiCili juga akan memastikan seratus peratus hasil tanaman dijual dan tiada lambakan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, projek yang sedang melalui proses pembersihan tanah itu dijangka akan mula beroperasi pada bulan Mac tahun ini.

Tambah beliau, ladang berkeluasan 10 ekar tersebut mampu menghasilkan 65 tan metrik cili semusim, bersamaan 130 tan metrik setahun.

Zahid Ismail berkata, ladang cili itu juga merupakan salah satu inisiatif yang sedang dibangunkan di Kelantan Bio Valley yang dimiliki oleh Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd., anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

”Projek ini berpotensi untuk dikembangkan secara meluas di seluruh negeri ini kerana ia mampu menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Kelantan dan seterusnya meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.

”MPC komited memacu produktiviti dan daya saing ke arah sasaran pertumbuhan 3.7% produktiviti negara di dalam RMKe-12, melalui pelbagai misi peningkatan produktiviti seperti memperkasa bakat, mempercepatkan penerimagunaan teknologi dan mereformasi peraturan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast