Empat daripada 131 lelaki warga dari Myammar termasuk etnik Rohingya yang merusuh dan meloloskan diri dari Blok Lelaki Depot Imigresen Sementara Bidor, ditemui sekitar jam 3:30 petang tadi, berhampiran perkampungan Orang Asli Sanding. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 02 FEBRUARI 2024.

TAPAH – Sebanyak 37 pendatang asing tanpa izin yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor di sini pada Khamis lepas, berjaya ditahan setakat 6 petang ini.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi petang ini berjaya menemukan 13 tahanan yang bersembunyi di sebuah ladang di penempatan Orang Asli Kampung Senta di sini.

Beliau berkata semua tahanan itu akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.

Terdahulu, pada sidang media pagi tadi Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, 10 tahanan warga asing tersebut telah ditahan.

Beliau berkata, mereka ditahan selepas masing-masing mula keluar disebabkan ada keperluan untuk mendapatkan bekalan makanan dan minuman daripada penduduk kampung termasuk di masjid.

Pada Khamis, seramai 131 tahanan terdiri dari etnik Rohingya, warga Myanmar dan Bangladesh melarikan dari Depot Imigresen Sementara Bidor dalam kejadian pada 9.50 malam.

Semua tahanan itu merusuh dengan merosakkan pagar depot sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun, seorang daripada mereka maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 335 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan.  – BERNAMA