KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong hari ini mengumumkan kerjasama baharu antara Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) untuk membangun serta menawarkan program latihan dalam kemahiran teknikal serta keusahawanan bagi komuniti rentan di Sibu dan kawasan sekitarnya.
Pengumuman itu merupakan lanjutan daripada pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood dan Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee turut menyaksikan pertukaran tersebut bersama Naib Pengerusi Dewan Rakyat II merangkap Ahli Parlimen Lanang Alice Lau Kong Yieng dan Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew.
Melalui kerjasama tersebut, HRD Corp dan UTS akan menawarkan program pembangunan kemahiran dalam bidang penyambungan dan pemasangan elektrik praktikal, teknologi rumah pintar yang meliputi bidang-bidang seperti Internet of Things (IoT) dan sistem rumah pintar, integrasi peranti rumah pintar dan kemahiran keusahawanan yang merangkumi perancangan perniagaan serta strategi asas, literasi kewangan termasuk penyusunan bajet serta asas pemasaran dan penjenamaan.
Program latihan itu akan ditawarkan kepada komuniti berpendapatan rendah, individu kurang bernasib baik dari segi pendidikan dan orang kurang upaya di Sibu dan kawasan sekitarnya.
Ini akan melengkapkan mereka dengan kemahiran serta pengetahuan elektrik dan elektronik yang diperlukan dalam industri, sejajar dengan aspirasi kerajaan Sarawak di bawah Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Ketika menyampaikan ucapan, Steven berkata, kerjasama antara HRD Corp dan UTS menyokong visi Kerajaan Sarawak dalam memperkasa infrastruktur tenaga efisien dan tenaga boleh diperbaharui di bawah SCORE.
“Selain membekalkan penduduk Sibu dan kawasan sekitarnya dengan kemahiran yang relevan dengan industri, kerjasama ini juga membantu mencipta bekalan tenaga pakar teknikal stabil yang boleh bekerja dalam pelbagai subsektor tenaga, terutamanya dalam bidang teknologi kediaman pintar.
“Di Kementerian Sumber Manusia, kami komited sepenuhnya untuk menyokong keperluan negeri ini dalam usaha melahirkan pekerja mahir di bidang ini.
“Untuk itu, kami juga akan meneliti peluang untuk melibatkan kemahiran AI di samping kursus berkaitan dengan penyelesaian inovatif untuk tenaga yang boleh diperbaharui dan efisien pada masa depan,” katanya.
Beliau turut berpendapat MoU bereknaan tepat pada waktunya kerana Sarawak dijangka mampu menarik pelaburan bernilai RM300 bilion dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
Dalam skala kebangsaan, Peta Jalan Transisi Energi Nasional (NETR) dijangka menerima pelaburan bernilai RM2 trilion dalam sektor tersebut menjelang 2050.
Fokus itu juga telah membawa kepada peningkatan permintaan rumah pintar serta bertenaga efisien di Sarawak.
“Ini mencipta keperluan yang lebih besar terhadap jurutera serta juruteknik elektrik dan elektronik untuk bekerja pada projek-projek ini yang mana permintaannya pada masa ini jauh melebihi bekalan,” ujarnya.
Sementara itu, Shahul berkata, HRD Corp percaya latihan adalah keperluan dan bukan kemewahan.
“Oleh itu, adalah menjadi misi kami untuk menyamaratakan akses kepada pembelajaran dan pembangunan untuk semua rakyat Malaysia, terutama komuniti yang memerlukannya.
“Kami berterima kasih atas sokongan Kementerian Sumber Manusia atas kerjasama ini, dan kami berbangga dengan usaha sama bersama UTS.
“Kami berharap dapat menyokong lebih ramai penduduk di Sibu untuk memperoleh kemahiran yang relevan untuk masa depan,” kata Shahul.
Dalam pada itu, bercakap bagi pihak UTS, Khairuddin berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan HRD Corp dan Kementerian Sumber Manusia untuk menawarkan program dan kepakaran mereka kepada lebih ramai penduduk Sarawak khususnya penduduk di Sibu.
“Struktur tiga modul memastikan pengalaman pembelajaran menyeluruh bagi peserta. Dengan menggabungkan kepakaran teknikal dengan kecekapan perniagaan, program ini tidak hanya melengkapi peserta dengan kebolehan yang diperlukan untuk pasaran kerja tetapi juga membina pemikiran keusahawanan untuk penjanaan pendapatan,” ujarnya.
Kelas pengenalan pertama dijadualkan berlangsung antara 17 Februari dan 2 Mac 2024.
Individu serta kumpulan yang akan menjadi perintis program ini telah dikenal pasti dan dipilih oleh UTS dan HRD Corp dengan kerjasama pertubuhan komuniti akar umbi, persatuan majikan, serta ketua-ketua komuniti dan industri setempat. – MalaysiaGazette