KUALA LUMPUR – Laluan antara Gopeng dan Simpang Pulai di Lebuhraya PLUS kini dibuka sepenuhnya seperti biasa selepas insiden kemalangan tujuh buah kenderaan di KM288.1 (Arah Utara) pagi tadi.
PLUS Malaysia dalam kenyataan di Facebook berkata, pihaknya amat menghargai kesabaran dan kerjasama para pengguna ketika kerja-kerja pengalihan, pembersihan dan pengurusan insiden ini dijalankan.
“Pihak PLUS juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua agensi penguatkuasaan, penyelamat, dan kontraktor penyelenggaraan kami serta pihak media yang terlibat atas sokongan, bantuan dan kerjasama yang diberikan ketika pengurusan insiden ini,” katanya.
Dalam kejadian itu, dua pemandu lori maut manakala seorang cedera dalam kemalangan melibatkan tiga lori dan empat kenderaan lain di Kilometer 288.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara dekat Kampung Tersusun.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pemandu lori yang meninggal dunia masing-masing membawa muatan gula dan barangan logam.
Menurutnya, empat kenderaan lain yang turut terlibat dalam kemalangan tersebut adalah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dua kereta sedan. – MalaysiaGazette