Tun Abdul Hamid Mohamad

PADA 7 September 2022, saya telah memuatnaikkan rencana saya bertajuk “Patutkah DS Najib Diberi Pengampunan?”.

Pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan telah mengadakan mesyuaratnya. Kenyataan rasmi lembaga itu telah dikeluarkan pada 2 Februari 2024. Antara lain ia menyatakan: “Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar. Oleh yang demikian, YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210,000,000.00 dikurangkan kepada RM50,000,000.00.

Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029.”

Mari kita cuba faham keputusan itu dahulu. Lembaga itu memberi “pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.” Ertinya pengurangan 50 peratuas diberikan kepada hukuman penjara dan denda. Maka, hukuman penjara dua belas tahun dikurangkan kepada enam tahun dan hukuman denda RM210,000,000.00 sepatutnya dikurangkan kepada RM105,000,000.00. Saya tidak faham bagaimana ia boleh menjadi RM50,000,000.00.

Perhatikan, kenyataan media itu dikeluarkan selepas lembaga itu bersidang. Sebelum itu tiada anggota lembaga itu atau Perdana Menteri membuat kenyataan DS Najib akan dibebaskan. Ini adalah procedure yang betul. Bandingkan dengan kes pengampunan DS Anwar Ibrahim dahulu di mana Perdana Menteri pada masa itu, setelah menghadap DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong (YDPA), membuat kenyataan bahawa baginda bersetuju untuk mengampunkan DS Anwar Ibrahim. Selepas itu, YDPA pada masa itu telah menerima menghadap DS Anwar Ibrahim, seorang banduan pada masa itu, sebelum lembaga itu bersidang dan memaklumkan beliau bahawa beliau akan diampun atas alasan ketidakadilan telah dilakukan ke atas beliau. Lihat “Patutkah DS Najib Diberi Pengampunan?”.

Kedua, kenyataan media itu atau anggota lembaga itu atau jurucakap Istana Negara langsung tidak menyatakan alasan keputusan itu dibuat. Pihak yang menunggu untuk mendengar alasan-alasan mengapa keputusan itu dibuat tentu kecewa.

Tidak dapat dinafikan bahawa, hari ini, setiap tribunal yang membuat sesuatu keputusan dalam menjalankan tugas keperlembagaan diharap akan memberi alasan kepada keputusan-keputusan yang dibuatnya. Ini akan menunjukkan ketelusannya, bahawa alasan mengapa ia membuat keputusan itu adalah patuh undang-undang dan reasonable, atau sebaliknya. Ia akan menjadi ikutan di masa hadapan dan menambah integriti lembaga itu.

Bayangkan keputusan mahkamah tertinggi yang dibuat setelah mengkaji beratus-ratus jika tidak beribu muka surat dokumen, setelah mendengar hujah berhari-hari, disokong oleh berpuluh-puluh, jika tidak beratus muka surat alasan penghakiman, diubah tanpa memberi sebarang alasan! Apakah yang dibincangkan dalam mesyuarat itu?

Memanglah YDPA tidak dikehendaki menurut Perdana Menteri (beliau bukan ahli lembaga itu) atau Menteri Wilayah Persekutuan (beliau seorang ahli lembaga itu), tetapi baginda tidak boleh membuat keputusan berdasarkan budi bicaranya sendiri seperti pelantikan Perdana Menteri. Keputusan itu adalan keputusan lembaga.

Lembaga itu dikehendaki bermesyuarat, menimbang alasan-alasan permohonan, rekod perbicaraan, alasan penghakiman mahkamah, pandangan Hakim yang mempengerusikan persidangan Mahkamah Persekutuan dan pandangan Peguam Negara. Jika lembaga itu membuat keputusannya selepas membincang semua pandangan itu, tentu sekali ada alasan baginya membuat keputusan itu.

Perkataan budi bicara itu sendiri menghendaki adanya budi dan bicara dalam membuat keputusan itu. Juga, dikatakan “An absolute discretion is a contradiction in terms”. Kita khuatir keputusan tanpa alasan itu akan dikaitkan oleh sesetengah pihak dengan fakta-fakta bahawa lembaga itu bersidang tiga hari sebelum tamat tempoh perkhidmatan YDPA ke-16 yang menimbulkan pertanyaan adakah ia dilakukan kerana takut YDPA ke-17 tidak akan bersimpati dengan permohonan itu? Ini ditambah dengan faktor senegeri YDPA dan DS Najib.

Boleh dihujahkan bahawa YDPA ke-16 hendak menyelesaikan permohonan itu kerana ia difailkan semasa pemerintahan Baginda. Jika itu hujahnya, maka hujah sebaliknya ialah, adakah semua permohonan yang dibuat semasa pemerintahan baginda ikut diselesaikan kesemuanya? Semua itu menimbulkan persepsi yang kurang menyenangkan, walau ia bukan sebab sebenar sekalipun. Walau bagaimana sekali pun, semua itu tidak boleh menjadi alasan untuk mencabar keputusan lembaga itu.

Kita ingin melihat apa lembaga itu yang akan dipengerusikan oleh YDPA ke-17 akan lakukan dalam kes-kes lain terhadap DS Najib dan lain-lain pemimpin politik yangsedang menghadapi pertuduhan kiranya mereka disabitkan dan dihukum dan apa alasannya pula, atau tanpa alasan juga. Soalan juga berbangkit, adakah lembaga itu akan juga memberi pengurangan hukuman terhadap pegawai-pegawai awam dan swasta yang disabitkan atas kesalahan yang serupa? Jika ya atau tidak pun, atas alasan apa atau tanpa alasan juga?

Kembali kepada rencana saya bertarikh 7 September 2022. Rencana itu ditulis atas dasar pengampunan penuh diberikan dan parti pemimpin berkenaan menang pilihan raya. Ini yang saya katakan: “Katakanlah dalam masa terdekat Lembaga Pengampunan bersidang dan memberi pengampunan kepada beliau, ia akan menjadikan sistem perundangan dan kehakiman di negara ini bahan ketawa di dunia: SPRM menghabiskan bertahun-tahun menyiasat; Pendakwa Raya menghabiskan berbulan-bulan mengkaji kertas siasatan; bertahun-tahun Hakim-Hakim membicara dan mendengar rayuan lepas rayuan, merekod, menyemak dan mengkaji beribu-ribu halaman keterangan dan dokumen, mendengar berpuluh-puluh orang saksi dan menulis beratus-ratus halaman alasan penghakiman, satu dua bulan selepas tertuduh disabitkan dan dihukum penjara berpuluh-puluh tahun dan didenda beratus-ratus juta atau berbilion, tanpa terpaksa melakukan apa yang disebut itu semua, ahli-ahli Lembaga Pengampunan, dengan satu ayat mengampun sabitan dan hukuman itu! Perlukah saya berkata apa-apa lagi?
Bayangkanlah sendiri”.

Saya juga ingin “mengelak pemimpin-pemimpin yang korup menyalahguna kuasa dan menyeleweng wang negara dan penjenayah daripada berkuasa atau berkuasa semula dan mengelak hukumam. Ia juga untuk mengelak ahli-ahli politik daripada memperalatkan Raja Berperlembagaan dan Lembaga Pengampunan untuk membolehkan pemimpin seperti itu berkuasa atau berkuasa semula. Itu bukanlah tujuan Lembaga Pengampunan diadakan”. Adakah apa yang saya katakan itu masih terpakai dalam kes ini?

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Bila masa plak si Maimon menghabiskan masa bertahun2 untuk mengkaji? Dan sejak bila plak tertuduh boleh dibicarakan tanpa mendapatkan hak dibela oleh peguam di mahkamah persekutuan? Hakim2 mahkamah yg dilantik tanpa prosedur yg betul. Hakim mahkamah tinggi yang buat keputusan berdasarkan anggapan ‘ kalau/if’ dna bukan bukti. Malah hakim juga mempunyai konflik kepentingan kerana menjadi peguam Maybank yg terlibat dlm kes ini. Sebenarnya masyarakat global akan mengetawakan bukan pengampunan DS Najib tetapi sistem mahkamah yg teruk mcm kangaroo court.

  2. Kalau org miskin mencuri biskut, takda sapa nk bg diskaun. Siap suruh sebat, kata pemalas, taknak kerja pulak tu. Takda sapa pertikai sistem masa tu. Kahkahkah.. dasar materialistik

Comments are closed.