Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu melancarkan tiga jenis bawang merah hasil penyelidikan MARDI di Show Tech MARDI 2023, pada Ogos lalu.

KUALA LUMPUR – Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk mengurangkan kebergantungan kepada bawang merah import.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata,
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah berjaya menghasilkan tiga varieti Bawang Merah MARDI iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 pada tahun lalu.

“Tahun 2024 adalah masa untuk kita mengorak langkah kepada penanaman secara besar-besaran,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Semalam, Mohamad berkata, MARDI telah memulakan penanaman Bawang Merah Mardi BAW-1 di kawasan seluas satu hektar di Kuala Bikam, Batang Padang, Perak pada 24 Januari lalu.

MARDI juga diarahkan untuk memberikan tumpuan yang lebih serta memantau rapat pertumbuhan dan pengeluaran Bawang Merah Mardi BAW-1 ini.

“Data-data yang diperolehi nanti dapat membantu kementerian merangka plan penanaman bawang merah tempatan ini secara besar-besaran,” tambahnya.

Mohamad berkata, krisis bekalan bawang yang berlaku pada 2020 akibat bencana banjir besar di India telah mengakibatkan kenaikan harga bawang di pasaran lebih 30 peratus daripada RM6 kepada RM8 sekilogram.

Berikutan itu kerajaan mahu mengurangkan kebergantungan kepada import bawang negara dalam tempoh lima tahun. – MalaysiaGazette