KUALA LUMPUR – Pasaran getah Malaysia dijangka menyaksikan dagangan dalam julat kecil namun cenderung meningkat susulan hujan lebat di negara-negara pengeluar yang menghalang usaha menoreh getah dan menjejaskan hasil susu getah.
Mantan Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia Denis Low berkata, pasaran akan turut disokong oleh aktiviti belian dan penambahan stok secara ketara berikutan peningkatan penggunaan menjelang cuti Tahun Baharu Cina.
“Musim daun getah luruh yang lazimnya berlaku pada akhir Februari sehingga penghujung April, hanya mengurangkan lagi pengeluaran getah dan menjadikan harganya tidak menentu.
“Sehubungan itu, minggu akan datang akan menjadi tempoh untuk peniaga memikirkan pendekatan menanganinya. Pada masa sama, pergerakan harga pula mungkin cenderung meningkat bagi minggu-minggu akan datang,” katanya kepada Bernama.
Low berkata, ketidaktentuan kadar pertukaran asing dan harga minyak akan turut memberi impak besar ke atas pergerakan harga getah.
“Ini memandangkan kadar pertukaran semasa lebih dipengaruhi oleh faktor geopolitik berbanding ekonomi benar. Prospek ekonomi di serata dunia masih lembap dan ini memerlukan pendekatan lebih teratur bagi dagangan komoditi berkenaan,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga lain berkata pasaran getah tempatan susut pada minggu ini apabila sentimen dijejaskan oleh data-data ekonomi China yang kurang menarik selain kebimbangan mengenai ketegangan geopolitik di pasaran Timur Tengah.
“Sentimen itu diburukkan lagi selepas pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) bertindak sebaliknya berbanding jangkaan pasaran mengenai pengurangan kadar faedah utama pada Mac ketika ekonomi AS kekal kukuh dan prestasi pengilangan global yang kurang memberangsangkan.
“Bagaimanapun, kerugian seterusnya dapat dikekang susulan tindakan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak naik unjuran pertumbuhan global 2024 manakala China mengesahkan usaha bagi memulihkan ekonominya,” katanya.
Sepanjang minggu ini, pasaran getah tempatan kebanyakannya positif dengan susu getah pukal secara menyeluruh meningkat 5.56 peratus manakala Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) mencatat keuntungan marginal 0.14 peratus.
Selain itu, bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 ditutup pada 710.0 sen sekilogram berbanding penutupan minggu sebelumnya pada 722.50 sen yang juga penurunan kira-kira 1.73 peratus.
Dagangan susu getah pukal ditutup menokok 3.9 peratus pada 652.0 sen sekilogram berbanding penutupan minggu sebelumnya iaitu 627.0 sen sekilogram.
Pada 5 petang Jumaat, harga rujukan LGM untuk getah fizikal SMR 20 adalah 708.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 654.0 sen sekilogram. – BERNAMA