Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini boleh membuat bayaran balik pinjaman menerusi kempen ‘Bayar Konsisten, Hati Senang’.

Ia merupakan satu inisiatif bersepadu dalam mempelbagaikan pendekatan mesra pelanggan untuk membantu serta memudahkan peminjam membuat bayaran balik pinjaman PTPTN.

Malah, terdapat hadiah lumayan yang ditawarkan berjumlah RM70,000 untuk 62 pemenang melibatkan dua kategori iaitu potongan gaji dan debit terus.

Hadiah bagi pemenang utama berupa RM5,000 kepada seorang pemenang setiap kategori dan RM1,000 kepada setiap pemenang saguhati untuk 30 orang pemenang setiap kategori.

Hadiah diberikan adalah wang tunai berbentuk bayaran balik pinjaman atau Simpan SSPN.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, kempen itu terbuka kepada semua peminjam PTPTN dan tempoh kempen bermula 1 Januari lalu hingga 31 Mei dengan bayaran secara konsisten, mudah dan selamat melalui potongan gaji dan debit.

“Kempen Bayar Konsisten, Hati Senang adalah antara platform terbaik untuk menggalakkan lebih ramai peminjam melaksanakan tanggungjawab mereka agar kesinambungan pinjaman PTPTN dapat diteruskan untuk generasi akan datang.

“Selain itu, melalui kempen ini juga peminjam PTPTN yang memenangi hadiah wang tunai adalah sebagai tambahan kewangan dan secara tidak langsung membantu mereka membayar balik pinjaman atau membuat simpanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan melalui Belanjawan 2024 juga telah bersetuju dengan pemberian insentif diskaun 15 peratus untuk bayaran balik pinjaman PTPTN secara potongan gaji atau debit terus bermula 14 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024.

Ujarnya, menerusi kemudahan itu peminjam diharap dapat mengambil peluang untuk membuat bayaran serta menikmati insentif diskaun yang diberikan oleh kerajaan.

PTPTN katanya, turut berharap dengan penganjuran kempen dan insentif diskaun yang diberikan akan meningkatkan kesedaran peminjam PTPTN untuk membuat bayaran balik secara konsisten melalui potongan cara tersebut.

Sehubungan itu sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukann dengan melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau muat turun aplikasi myPTPTN untuk mendapatkan notifikasi dan perkhidmatan PTPTN pada bila-bila dan di mana sahaja dengan lebih mudah, cepat dan selamat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast