Mohd Asna Amin

MELAKA – Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua didesak membuat permohonan maaf terbuka berhubung tindakannya menyindir keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Tindakan itu berhubung isu pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, proses pengampunan itu telah melalui proses yang teliti tanpa sebarang penyalahgunaan kuasa mahupun tatakelola.

“Tindakan mempertikai keputusan itu seolah-olah telah mempersenda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan saya
mendesak sekeras-kerasnya beliau menarik balik posting tersebut serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

“Jika tidak Tony perlu dikenakan tindakan tegas kerana mempersendakan kuasa YDPA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Tony menerusi Facebooknya dilihat menzahirkan rasa tidak puas hatinya menerusi tiga perenggan ayat berbaur sinis meminta rakyat menerima keputusan itu kerana Najib sudah pun bertaubat.

Mengulas lanjut, Asna yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban berkata, tindakan bekas Setiausaha Publisiti DAP itu juga menggambarkan beliau tidak menghormati persefahaman dalam kerajaan Perpaduan.

“Beliau juga tidak menghormati sensitiviti kerjasama Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH) yang telah berjanji untuk melupakan permusuhan dan kisah silam.

“Ini bukanlah kali pertama Tony Pua melakukan tindakan biadap ini sebab itu perlu ada satu tindakan tegas terhadapnya dari sudut perundangan negara mahupun dalaman parti,” katanya. – MalaysiaGazette